BARCELONA – Kehadiran Marcus Rashford ke Barcelona dilaporkan kurang disenangi beberapa tonggak utama gergasi La Liga itu apabila Lamine Yamal dilaporkan tidak menyukai perpindahan bintang England tersebut dari Manchester United.
Berdasarkan laporan El Nacional, Yamal, 18, menyifatkan tindakan Presiden Barcelona, Joan Laporta dan pengarah sukan kelab itu, Deco, sebagai memperdayakannya kerana tidak menunaikan janji untuk membawa masuk rakan rapatnya, Nico Williams dari Athletic Club.
Sebaliknya, The Catalans memilih untuk menandatangani Rashford secara pinjaman dengan pilihan pembelian bernilai €30 juta (RM148.54 juta) yang boleh mencetuskan ketegangan dalam skuad bimbingan Hansi Flick itu.
Yamal juga didakwa kecewa kerana tidak dirujuk terlebih dahulu dan menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada pengurusan mengenai perpindahan Rashford yang diumumkan secara rasmi awal pagi semalam.
Dua lagi bintang pasukan iaitu Raphinha dan Robert Lewandowski turut dilaporkan tidak mesra dengan Rashford yang bakal menggunakan jersi No. 14.
Lewandowski yang dalam musim terakhir bersama Barcelona, merasakan minit permainannya boleh dikurangkan secara drastik sekiranya Rashford diletakkan sebagai penyerang utama.
Raphinha yang kerap bermain di posisi sayap kiri turut gusar peluangnya semakin terbatas.
Walaupun sanggup menerima pemotongan gaji sebanyak 15 peratus demi menyarung jersi Barcelona, Rashford nyata berdepan cabaran getir untuk menyesuaikan diri, apatah lagi apabila disambut dingin oleh beberapa rakan sepasukan.
Begitupun, pengendali Barcelona, Hansi Flick yakin Rashford mampu membawa nafas baharu kepada barisan serangan musim ini sambil memberi persaingan sihat kepada tonggak sedia ada. – AGENSI