BARCELONA – Marcus Rashford dijangka melengkapkan perpindahan impiannya ke Barcelona dalam masa terdekat, namun penyerang England itu perlu segera menyesuaikan diri dengan disiplin ketat Hansi Flick jika mahu kekal lama di Nou Camp.
Flick yang membawa The Catalans menjuarai tiga trofi musim lalu, terkenal dengan gaya pengurusan ultra-disiplin dan setiap pemain wajib mematuhi sekurang-kurangnya 10 peraturan asas termasuk hadir 90 minit lebih awal ke sesi latihan.
Menurut laporan, rutin harian Flick bukan sekadar latihan intensif selama sejam setengah, malah pemain juga perlu melaporkan diri di hotel pasukan sebelum setiap perlawanan sebagai langkah untuk mengelak sebarang ‘kejutan’ taktikal.
Satu lagi perubahan ketara adalah kembalinya sesi pemanas badan pada hari perlawanan yang sebelum ini digugurkan oleh bekas pengendali Barcelona, Xavi Hernandez selepas menerima rungutan daripada pemain-pemain senior.
Selain itu, Flick hanya membenarkan satu hari cuti dalam seminggu dan mengawal ketat aspek pemakanan menerusi hidangan khas disediakan pakar nutrisi, Silvia Tremoleda di kantin pusat latihan pasukan di Ciutat Esportiva.
Setiap pemain turut diwajibkan menjalani sesi timbang berat badan harian dan tiada lagi penerbangan malam sebaik tamat perlawanan luar bagi memberi ruang maksimum untuk pemulihan.
Flick juga tidak mengamalkan sistem denda, sebaliknya mengekalkan hubungan profesional dengan pemain dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada tahap disiplin individu.
Rashford yang kini sudah tiba di Catalonia bagi menyertai Barcelona secara pinjaman, namun kejayaannya bergantung sepenuhnya pada kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan falsafah keras jurulatih Jerman itu. – AGENSI