KUALA LUMPUR – Malaysia kini dalam fasa menyertai Konvensyen Budapest dan akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan jenayah siber bagi memperkukuh strategi kerjasama antarabangsa dalam menangani jenayah itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menerusi konvensyen berkenaan, Malaysia akan dapat mengukuhkan kerjasama dalam siasatan, pertukaran bukti digital, ekstradisi pelaku jenayah siber serta perkongsian maklumat dan risikan bersama polis antarabangsa (Interpol) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
“Ini kita akan tandatangan, kalau tiada halangan bulan Oktober nanti di Vietnam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu bilangan kes jenayah siber dilaporkan sepanjang 2024 serta langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meningkatkan tahap keselamatan digital rakyat.
Dalam pada itu Saifuddin Nasution memaklumkan sepanjang tahun lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 46,086 kertas siasatan antaranya membabitkan siasatan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu mekanisme menyeluruh kerajaan dalam menyekat penyalahgunaan platform digital terutama dalam aspek penjualan barangan terlarang, beliau berkata pihaknya dalam proses mengkaji penggubalan Rang Undang-Undang Jenayah Siber.
“Kita nak perluas kuasa penyiasatan dengan memasukkan peruntukan penyimpanan, pemeliharaan dan penzahiran serta kita nak kumpul dan rakam data secara masa nyata.
“Kesalahan terhadap kerahsiaan, integriti, kebersediaan data, pencerobohan sistem, pemintasan tanpa kebenaran terhadap data, banyak lagi elemennya. Sampai masa nanti KDN akan adakan libat urus, kita akan minta lagi input,” katanya. -KOSMO! ONLINE.