PETALING JAYA – Berikutan permintaan luar biasa, penganjur konsert My Chemical Romance South East Asia Tour 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil mengumumkan tambahan satu malam lagi di negara ini iaitu pada 1 Mei 2026.
Berita gembira persembahan dua malam termasuk mengikut jadual asal pada 30 April 2026 membabitkan band popular Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur itu dikongsikan menerusi laman sosial Hello Universe, hari ini.
“Ini sudah disahkan. Kami mendengar permintaan anda. Satu-satunya persembahan dua hari di Asia Tenggara. Ini peluang terakhir untuk menjadi sebahagian aksi rock hebat.
“Berikutan permintaan yang luar biasa, My Chemical Romance baru mengesahkan persembahan kedua di Kuala Lumpur pada 1 Mei tahun depan.
“Kuala Lumpur juga menjadi satu-satunya destinasi di Asia Tenggara yang dipilih untuk muncul mereka selama dua hari berturut-turut ,” tulis kenyataan itu menerusi Instagram.
Menerusi kenyataan sama, pihak terbabit memaklumkan tiket untuk konsert malam kedua bakal dibuka pada 1 Ogos depan.
Selain Malaysia, band terbabit juga akan menjayakan konsert di beberapa negara lain seperti Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia.
Sebelum ini, pada 11 Julai lalu tiket sebanyak 60,000 unit habis dijual dalam tempoh hanya satu setengah jam atau 90 minit selepas dibuka pada pukul 11 pagi.
Ramai peminat menyifatkan pengalaman membeli tiket untuk menyaksikan konsert tersebut seperti ‘perang siber’ sehingga ramai meluahkan kekeewaan.
Laman jualan tiket GoLive Asia dan Hello Universe Malaysia juga dilaporkan mengalami gangguan teknikal apabila halaman tidak boleh diakses, sistem mogok sebelum jualan bermula dan hadapi ‘server error’ lebih sejam.
Terdahulu My Chemical Romance pernah datang ke Malaysia dalam siri jelajah The Black Parade World Tour sekitar tahun 2007 di Stadium Merdeka yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat.
Ini merupakan kemunculan buat pertama kali kumpulan berkenaan sejak lebih 18 tahun lalu, sekali gus membuatkan ramai penggemar tegar teruja.
Band yang diasaskan pada 2001 itu dibarisi Gerard Way selaku vokalis; Ray Toro (gitar); Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bes).
Mereka dikenali dengan lagu Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay – KOSMO! ONLINE