LONDON – Bekas prinsipal pasukan Haas, Guenther Steiner percaya pengunduran Christian Horner tidak akan menjejaskan prestasi Red Bull dalam masa terdekat.
Steiner yang pernah bekerja bersama Horner semasa era awal Red Bull di Formula Satu (F1) berkata, struktur dan pembangunan jangka panjang sesebuah pasukan tidak terjejas dengan perubahan individu secara tiba-tiba.
“Saya percaya tiada perubahan besar berlaku kerana semua perancangan pasukan sudah ditetapkan. Kereta sedang dibangunkan dan Red Bull akan gunakan unit kuasa (PU) sendiri tahun depan.
“Kalau seseorang baru datang ambil alih kedudukan ditinggalkan Horner dan mahu buat perubahan, dia tak sempat buat apa-apa kerana semuanya memerlukan masa yang panjang untuk melakukannya,” katanya.

Horner yang telah menerajui Red Bull sejak kemunculan sulung mereka di pentas F1 pada 2005, dipecat serta-merta selepas Grand Prix (GP) Britain dengan Laurent Mekies dari pasukan Racing Bulls dinaikkan pangkat menggantikan tempatnya.
Sepanjang 19 tahun bersama pasukan itu, Horner membawa Red Bull menjulang lapan gelaran dunia pemandu dan enam kejuaraan pengeluar, namun kontroversi termasuk skandal yang berlaku pada 2024 telah menjejaskan kedudukannya.
Meskipun prestasi Red Bull menurun musim ini, Steiner menganggap puncanya bukanlah pada pengurusan, sebaliknya isu kekurangan pemandu kedua yang mampu menyamai keupayaan Max Verstappen.
“Kalau Max tiada, saya percaya Red Bull akan menjadi pasukan tercorot,” ujarnya. – AGENSI