KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 16 tahun di dalam sebuah kereta kira-kira empat bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja berusia 16 tahun 10 bulan yang juga anak kandungnya apabila perhubungan tersebut tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan remaja tersebut
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta di kawasan lorong di Jalan Pasir Mas- Salor di sini kira-kira pukul 4 pagi pada 31 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Kes disebut semula pada 24 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE