fbpx
Zaim Ikhwan dan Ismanira ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

[VIDEO] Zayn Rayyan: Ibu menangis diperintah bela diri, bapa dilepas dan dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin diperintah membela diri, manakala bapa kanak-kanak itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ismanira Abdul Manaf manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Syahliza berkata setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara pernilaian maksimum serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.

“Oleh itu tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala tertuduh kedua (Ismanira) mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua (Ismanira) dan dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata hakim itu.

Sejurus selepas keputusan itu, Ismanira kemudian dilihat menangis sambil memeluk ahli keluarga.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN