PETALING JAYA – Malang tidak berbau buat selebriti versatil Alif Satar apabila mengalami kecederaan kaki kanan akibat terjatuh ketika perlawanan sepak tujuh sebelah (7’s) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, kelmarin.
Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 34, berkata, selepas diterjah pemain lawan dia mendengar bunyi sesuatu patah yang menyebabkannya terduduk menahan kesakitan.
“Ketika diterjah, saya dapat dengar bunyi ‘crack!’, memang benar ligamen ATFL (pergelangan kaki) koyak.
“Kaki saya bengkak dan keesokannya menjalani pemeriksaan MRI (imbasan imej resonan magnetik),” katanya dalam hantaran Instagram.
Menurut penyanyi, pelakon dan pengacara itu, insiden terbabit merupakan pengalaman yang sentiasa segar dalam ingatannya.
Bahkan ketika kejadian, legenda Manchester United, Ryan Giggs yang sepasukan dengannya turut mendekati dan bertanya khabar.
Kongsi Alif lagi, dia bertuah apabila mendapat bantuan individu berpengalaman juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, yang memantau keadaannya.
“Ini merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan kerana diterjah pemain kebangsaan, kemudian Ryan Giggs pula datang ziarah.
“Jiran saya yang memakai baju putih dan bertopi itu namanya Safiq Rahim. Dia sangat baik, menjaga saya dan menasihatkan supaya tidak bermain bola lagi,” ujarnya.
Pada masa sama, lelaki yang aktif bersukan dan melakukan aktiviti lasak itu menzahirkan kebimbangan andai kecederaan dialami lambat pulih.
Ini kerana dia bakal menyertai sebuah acara larian di Jerman, Berlin World Majors Marathon yang dijadualkan pada 21 September depan.
Difahamkan, perlumbaan ini antara acara berprestij yang dinanti-nantikan kaki maraton seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE