MELAKA – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan lemas di kolam renang sebuah rumah inap jenis kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, pagi tadi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem ketika dihubungi pemberita, petang tadi.
“Ya, mangsa yang belum sedarkan diri sedang menerima rawatan di PICU Hospital Melaka,” katanya ringkas.
Sementara itu, waris keluarga kanak-kanak berkenaan yang enggan dikenali meminta orang ramai agar dapat bersama-sama mendoakan keadaan mangsa.
“Mangsa masih di PICU sedang bergantung kepada bantuan alat pernafasan dan saya memohon orang ramai supaya mendoakan ada keajaiban Allah untuk menyelamatkan mangsa,” ujarnya.
Kosmo! hari ini melaporkan, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas ketika bermandi-manda di kolam renang sebuah rumah inap di Taman Kota Syahbandar pada pukul 9.45 pagi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohd. Zahery Mohd. Zailani berkata, setiba di lokasi, bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) telah diberikan kepada mangsa, namun kanak-kanak itu masih berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital. – KOSMO! ONLINE