PETALING JAYA – Mengeluarkan produk untuk penjagaan kesihatan tidak boleh diambil mudah kerana ia melibatkan beberapa proses penting seperti kajian dan pembangunan (R&D) yang memakan masa berbulan-bulan, diikuti dengan pelantikan kilang untuk pengeluaran produk, pembungkusan premium dan kemudiannya pemasaran kepada pengguna.
Itu adalah rutin biasa yang dilaksanakan oleh kebanyakan syarikat tempatan.
Namun berbeza bagi Kumpulan Naturmeric, yang mana proses R&D sahaja telah mengambil masa lebih empat tahun dan melibatkan kerjasama dengan pakar penyelidik dari universiti tempatan.
Pengarah Eksekutif Naturmeric, Ahmad Radhi Zakaria berkata, pendekatan mendalam ini menjadikan Naturmeric satu jenama yang benar-benar serius dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi yang berasaskan Kunyit Hitam (Curcuma caesia).
Menurut beliau, kajian tersebut telah dilaksanakan secara komprehensif, meliputi semua proses kritikal termasuk kajian fizikal, kimia dan genetik (DNA) bagi memastikan bahan mentah yang digunakan benar-benar tulen dan mempunyai profil fitokimia yang tinggi.
“Kini, penyelidikan Naturmeric sedang berada di peringkat permohonan kelulusan etika untuk kajian in vivo (tikus) dan dalam perancangan untuk diteruskan ke peringkat kajian klinikal manusia.
“Perjalanan ini masih panjang, namun penting demi memastikan produk ini disokong oleh data saintifik yang sahih dan bukan sekadar dakwaan kosong,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Penyelidik Naturmeric, Prof. ChM. Intan Safinar Ismail, yang mengetuai projek penyelidikan kunyit hitam sejak tahun 2021.
Ahmad Radhi menjelaskan, pihaknya masih berhasrat untuk meneruskan ujian saintifik ke tahap tertinggi meskipun ia memerlukan tempoh yang lama dan pelaburan yang besar.
“Kami tidak mahu meuar-uarkan produk Naturmeric ini sebagai yang terbaik secara membabi buta. Biarlah ia disokong oleh piawaian industri farmaseutikal tempatan dan antarabangsa,” jelas beliau.
Ahmad Radhi yang berasal dari Kuala Lumpur, memiliki latar belakang keusahawanan yang luas iaitu daripada industri kejuruteraan sivil , pakar hiasan dalaman, minyak dan gas, hinggalah kepada perniagaan insurans.
Kini, beliau mengetuai kumpulan agensi insurans yang besar sambil memimpin Naturmeric sebagai sebuah syarikat kesihatan berasaskan herba yang berwibawa.
“Bagi saya, kepuasan sebenar sebagai usahawan bukan sekadar memiliki empayar, tetapi berani meneroka bidang baharu yang memberi impak dan nilai,” katanya.
Apa yang membezakan Naturmeric daripada kebanyakan jenama lain adalah fokus kepada kualiti, keselamatan, keberkesanan, konsistensi dan aksesibiliti (QSECA) iaitu lima elemen yang dijadikan prinsip teras dalam setiap peringkat pembangunan produk.
Naturmeric bukan sekadar menghasilkan produk dengan kontrak pengilang biasa, sebaliknya, syarikat ini telah menubuhkan ladang kunyit hitam sendiri seluas 16 hektar di Kota Tinggi, Johor untuk memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten dan berkualiti tinggi.
Ladang ini dijangka mula menghasilkan tuaian pertama pada suku ketiga tahun ini.
“Kami mahu pastikan kawalan kualiti bermula dari ladang. Apabila kita memiliki ladang sendiri, kita boleh jamin konsistensi dan pemantauan yang teliti. Dari situ barulah kita boleh jamin kualiti produk akhir,” tambah Radhi.
Produk Naturmeric pertama yang telah dilancarkan di pasaran adalah dalam bentuk tablet kunyah, mengandungi ekstrak tulen Curcuma caesia, dipasarkan pada harga RM179.90 sebotol.
Dalam tempoh pelancaran awal, sebanyak 15,000 botol hampir habis dijual dan pihak syarikat kini bersiap sedia untuk menambah stok bagi memenuhi sasaran jualan 50,000 unit, dengan unjuran hasil jualan RM3 juta hingga RM5 juta menjelang hujung tahun ini.
Pada fasa permulaan, produk diedarkan melalui platform dalam talian, serta dikongsikan kepada kenalan terdekat dan pelanggan yang telah mengikuti perkembangan jenama sejak awal.
Maklum balas yang diterima amat memberangsangkan, termasuk testimoni daripada pengguna yang merasai sendiri manfaatnya terhadap tahap tenaga, sistem imun, keradangan dan kesihatan umum.
Selain itu, Intan menjelaskan, hanya Curcuma caesia daripada keluarga Zingiberaceae digunakan dalam produk Naturmeric.
Spesies ini dikenali melalui ciri fizikal unik iaitu isinya berwarna ungu dengan corak cincin di tengah, yang membezakannya daripada kunyit biasa yang digunakan dalam masakan.
Beliau menjelaskan, kajian tersebut bermula selepas seorang pengusaha dari ladang kumpulan Naturmeric menghantar enam anak pokok kunyit hitam ke makmal untuk dikaji.
Dari situ, penyelidikan menyeluruh dijalankan melalui tiga tahap iaitu kajian luaran, kajian dalaman (kimia) dan analisis DNA. Keseluruhan proses ini mengambil masa hampir empat tahun sebelum dimuktamadkan dalam bentuk manuskrip saintifik.
“Tetapi kajian saintifik ini terlalu teknikal. Orang awam susah nak faham. Inilah sebabnya Naturmeric penting dan kami sebagai penyelidik jalankan kajian, tetapi Naturmeric yang bawa hasil kajian ini ke masyarakat dalam bentuk produk yang boleh digunakan,” jelas Intan.
Beliau turut menekankan bahawa pengguna masa kini lebih yakin kepada syarikat yang telus dan konsisten.
Naturmeric kini menyasarkan untuk menjadi syarikat suplemen berasaskan herba pertama di Malaysia yang melengkapkan kajian klinikal manusia, sekali gus mengangkat status produk tradisional tempatan ke tahap antarabangsa.
Dalam jangka panjang, syarikat berhasrat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun, sebagai satu usaha strategik untuk memperkukuh jenama bumiputera. -KOSMO! ONLINE