SABAK BERNAM – Seekor penyu lipas betina sesat diselamatkan selepas tersangkut pada jaring nelayan berdekatan Pintu Kunci Air Sungai Besar di sini, kelmarin.
Spesis terancam seberat 22 kilogram (kg) itu mengalami kecederaan pada kedua-dua sirip.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya menerima aduan pukul 3 petang dan operasi disertai pegawai Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam bersama Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan.
“Pasukan penyelamat melakukan rawatan awal termasuk membasahkan badan penyu dan memeriksa kecederaan. Haiwan itu dibawa ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari, Perak bagi tujuan pemantauan,” katanya hari ini.
Menurut Noraisyah, penyu lipas atau nama saintifiknya Lepidochelys Olivacea merupakan spesies jarang ditemui di perairan Selangor.
Ini kerana pantai di negeri ini berlumpur dan tidak sesuai bagi pendaratan semula jadi namun, ia masih menjadi laluan migrasi penyu. Setakat ini tiada sebarang rekod pendaratan penyu bertelur di Selangor dan biasanya berlaku di Perak dan Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE