fbpx
Gambar hiasan

Dakwaan gengster kuasai bilik mayat disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUCHING – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius dakwaan gengster menguasai bilik mayat di sebuah hospital di Sarawak dan akan melakukan siasatan berhubung perkara tersebut bagi memelihara integriti serta kredibiliti perkhidmatan kesihatan awam di negara ini.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Veronica Lugah berkata, urusan pengurusan jenazah di hospital-hospital kerajaan adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab waris atau keluarga si mati.

“Pihak hospital tidak menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah dan keluarga diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih mana-mana syarikat pengurusan jenazah yang mereka percayai, tanpa sebarang unsur paksaan atau campur tangan daripada pihak hospital.

“Selaras dengan garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa, semua anggota perkhidmatan kesihatan dilarang sama sekali daripada bertindak sebagai orang tengah atau perantara dalam urusan pengurusan jenazah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Veronica berkata, sebarang pelanggaran terhadap arahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau perbuatan yang boleh menjurus kepada rasuah.

Katanya, sekiranya terdapat sebarang unsur paksaan, ugutan atau perlakuan menyerupai gengsterisme, laporan polis perlu dibuat dengan segera agar siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI