ISLAMABAD – Seorang wartawan hanyut dibawa arus deras semasa membuat liputan langsung mengenai banjir besar susulan hujan lebat berterusan melanda Pakistan, lapor portal beerita 18 News semalam.
Wartawan bernama Ali Musa Raza itu membuat laporan berhampiran Empangan Chahan di bandar Rawalpindi, wilayah Punjab.
Rakaman video di laman X oleh akaun @AlArabiya_Eng menunjukkan kepala dan mikrofon Raza timbul atas permukaan air, manakala seluruh badannya ditenggelami banjir.
Dia bagaimanapun nekad meneruskan liputan, meskipun arus semakin deras dan air banjir mencapai paras lehernya.
Masih belum jelas keadaan terkini Raza.
Rakaman itu mencatatkan lebih 48,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
Sebilangan pengguna media sosial memuji keberanian Raza, namun sesetengah mereka mengkritik tindakannya kerana dianggap berbahaya dan berisiko membawa maut.
Sementara itu, hujan lebat dan banjir sejak 26 Jun lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 116 nyawa dan mencederakan lebih 250 orang.
Selain menjejaskan berjuta-juta penduduk, ratusan rumah turut musnah dan bekalan elektrik serta air terputus. – AGENSI