fbpx
ACARA Supremacy Networking 2.0 berlangsung meriah di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah, Perak baru-baru ini dengan kehadiran sejumlah kereta Mustang.

Kereta Mustang meriahkan Supremacy Networking 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAWASAN sekitar Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah, Perak bergema dengan deruman enjin dan sorakan peminat permotoran apabila acara Supremacy Networking 2.0 berlangsung meriah pada waktu malam baru-baru ini.

Berlangsung pada pukul 8 malam hingga tengah malam, acara ini menghimpunkan ratusan pemilik dan peminat kenderaan dari seluruh negara dalam satu majlis komuniti yang bertemakan Minat Automotif, Silaturahim dan Gaya hidup Urban.

Antara tarikan utama ialah kehadiran barisan kereta Ford Mustang yang diketuai oleh Mustang Owners Club Malaysia (MOCM), tampil bergaya dengan 22 buah jentera eksotik tersusun kemas dan lengkap dengan identiti kelab masing-masing.

Menurut Naib Presiden MOCM, Mohd. Luqman atau lebih dikenali sebagai Luq Chinese Look, lebih 30 kelab kereta pelbagai jenis dari pelbagai negeri mengambil bahagian dalam konvoi gergasi ini, menjadikannya antara perjumpaan automotif paling dinanti pada tahun ini.

Katanya, 22 buah Mustang menyertainya dan kehadiran mereka bukan sekadar untuk mempamerkan kehebatan Mustang tetapi membawa mesej kesatuan dan semangat kekeluargaan dalam komuniti automotif.

“Kami di MOCM sangat menghargai peluang ini. Ia bukan hanya mengenai kereta tetapi tentang perpaduan.

“Kami alu-alukan lebih ramai pemilik Mustang untuk bersama dalam keluarga besar MOCM,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, semua ahli MOCM sangat menghargai program yang dianjurkan, malah suasana meriah, sambutan hangat dan pengisian program yang tersusun menjadikan acara itu cukup bermakna.

Berkongsi tentang perjalanan program, acara bermula seawal pukul 6.30 petang dengan sesi parkir dan penyusunan kenderaan.

Tepat pukul 8 malam, suasana mula rancak dengan ucapan pembukaan daripada pihak penganjur dan penaja.

Penonton seterusnya dihiburkan dengan persembahan bertenaga oleh DJ Mira pada pukul 9 malam, disusuli sesi beramah mesra yang membolehkan pengunjung berinteraksi lebih dekat dengan selebriti dan tokoh permotoran.

Tidak ketinggalan, sesi bergambar khas pada pukul 10 malam menjadi antara momen paling dinanti apabila para peserta berpeluang merakam detik kenangan bersama kenderaan masing-masing di lokasi yang disediakan.

“Sesi bebas bermula pukul 11 malam memberi ruang kepada peserta untuk menjalin hubungan baharu serta bertukar pandangan mengenai dunia permotoran tanah air.

“Dengan pengisian program yang tersusun dan sambutan hangat dari pelbagai lapisan masyarakat, Supremacy Networking 2.0 bukan sahaja menjadi platform hiburan tetapi turut berjaya memperkukuh jaringan sosial dalam kalangan peminat permotoran seluruh negara,” ujarnya.

Maklumnya lagi, kelab itu juga meneruskan momentum dengan program Konvoi Makan Durian di Segamat, Johor semalam.

Menurutnya, lokasi konvoi ini dipilih sebagai tanda sokongan kepada kebun durian yang diusahakan sendiri salah seorang ahli kelab dan ia bukan saja aktiviti santai tetapi juga simbol semangat setia kawan dalam MOCM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN