fbpx
HYROX gabungan perkataan ‘hybrid’ dan ‘rockstar’ merupakan perlumbaan kecergasan melibatkan cabaran indoor larian 8 kilometer diselangselikan dengan 8 cabaran workout.

Hyrox sensasi global, himpun komuniti semangat positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENCABAR kemampuan diri dengan mengharungi larian dan lapan cabaran senaman (functional workout) menjadi fokus utama peserta yang menyertai Hyrox.

Gabungan antara cabaran indoor larian lapan kilometer (km) dan senaman fungsi intensiti tinggi menjadikan Hyrox pertandingan sukan sensasi global yang turut kian mendapat perhatian masyarakat Malaysia.

Telah wujud di Jerman sejak tahun 2018, siri pertandingan itu yang diuar-uarkan ‘sesuai untuk semua orang’ kini meluaskan penganjuran ke kira-kira 30 buah negara dengan penyertaan 650,000 orang.

Tidak terkecuali Nur Liyana Abu Samah yang menjadikan Hyrox sebagai gelanggang untuk menguji stamina dan kecergasan fizikal, di samping menjadikannya pemicu agar optimis menjalani gaya hidup sihat.

Kata wanita berusia 41 tahun itu, Hyrox adalah jawapan kepada keinginannya terhadap sukan yang bukan sahaja memberi cabaran, tetapi menguji ketahanan mental dan emosi.

“Minat saya terhadap Hyrox bermula pada tahun lalu apabila pertama kali menyertai Hyrox di Singapura bersama suami. Kami tertarik dengan konsep menggabungkan kekuatan dan ketahanan dalam satu pertandingan.

“Setelah berkecimpung, semangat komuniti Hyrox juga sangat menginspirasikan saya untuk terus mencabar diri dan berkembang,” katanya ketika dihubungi CitaRasa.

NUR LIYANA dan suaminya bekerjasama dalam
pertandingan Hyrox.

Status ibu kepada tiga orang anak juga bukan penghalang buat Liyana untuk menyertainya.

“Cabaran paling besar bagi saya ialah membahagikan masa antara latihan, kerja dan tanggungjawab. Hyrox telah membuka mata saya untuk belajar tentang kekuatan diri, kepentingan disiplin dan kerja berpasukan,” ujarnya.

Setahun menceburi Hyrox, Liyana meletak sasaran agar sukan itu dapat membantunya sentiasa menjadi versi terbaik secara fizikal, mental dan emosi.

“Saya juga berharap dapat melihat lebih ramai wanita berani mencabar diri untuk keluar dari zon selesa dan menyertai dunia kecergasan yang penuh potensi ini,” katanya semangat.

Hyrox merupakan gabungan perkataan antara ‘hybrid’ dan ‘rockstar’ sekali gus melambangkan tahap prestasi dan semangat tinggi.

Diasaskan oleh peminat sukan ketahanan, Christian Toetzke dan juara Olimpik sukan hoki, Moritz Furste, Hyrox direka sebagai platform bagi kaki-kaki gimnasium untuk beradu kekuatan memandangkan tidak ada pertandingan seumpamanya sebelum ini.

Pertandingan berbentuk perlumbaan kecergasan yang diadakan di dalam bangunan yang luas itu direka mempunyai format secara seragam. Para peserta melalui larian keseluruhan 8 kilometer dipecahkan kepada lapan stesen yang memerlukan mereka melakukan lapan cabaran kecergasan berbeza selepas setiap 1 kilometer.

Lapan stesen cabaran meliputi skiErg, sled push, sled pull, burpee broad jumps, rowing, farmers carry, sandbag lunges dan wall balls memerlukan para peserta melakukan aktiviti-aktiviti seperti mengangkat, membaling, menarik, mengheret, melompat dan sebagainya.

Terdapat sejumlah bayaran dikenakan untuk penyertaan, misalnya di Thailand, bayaran RM200 dikenakan.

Peserta boleh menyertainya secara individu, berpasangan atau relay (empat orang). Tiada had masa ditetapkan untuk menghabiskan cabaran.

Kini terdapat lebih 80 perlumbaan di seluruh dunia yang diadakan secara berjadual. Penganjurannya tiada di Malaysia setakat ini, namun kebanyakan peserta negara ini menyertainya di Singapura atau Thailand dan popularitinya boleh dikatakan mula menular kalangan rakyat Malaysia sejak tahun lalu.

Hanif semasa melakukan salah satu cabaran kecergasan Hyrox di Singapura tahun ini yang berlangsung Jun lalu.

Bagi Liyana, biarpun perlu berhabis ratusan ringgit, Liyana menganggap semua itu sebagai pelaburan kesihatan jangka masa panjang.

Buat Raeiz Hamed, 39, yang merupakan Kapten Tentera Udara Diraja Malaysia (Bersara) pula, obsesi melibatkan diri dalam sukan itu membuatkan beliau banyak menyertai pertandingan Hyrox di luar negara.

Biarpun baru menceburinya setahun lalu, namun pelatih kesihatan itu sudah merantau ke beberapa buah negara seperti Singapura, Hong Kong, Jepun, Thailand dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk menyertai Hyrox.

Dalam pada teruja melibatkan diri dalam acara sukan di luar negara, Raeiz mengakui pernah mengalami kecederaan serius pada bahagian leher, bahu dan tangan semasa sertai Hyrox.

“Kecederaan itu saya alami pada April lalu selepas menyertai Hyrox di Sharjah, UAE dan Bangkok sebulan kemudian.

“Sewaktu di UAE, saya alami TOS (Thoracic Outlet Syndrome) di saraf C6 dan C7 (rangkaian saraf yang mengawal otot dan deria di bahu, lengan dan tangan) selain putus urat jari kelingking.

“Di Bangkok saya alami kekejangan yang teruk, tetapi alhamdulillah setelah kecederaan itu saya pulih dan bersedia untuk ke pertandingan seterusnya,” katanya yang tetap bersemangat untuk meneruskan hasratnya menyertai Hyrox di Yokohama, Jepun pada Ogos depan.

“Kecederaan itu sebahagian daripada cabaran sukan dan saya tidak jadikan itu sebagai pengakhiran. Bagi saya setiap pengalaman di luar negara bukan saja uji fizikal, tapi membuka mata tentang semangat kesukanan global seterusnya peluang memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

“Saya ingin buktikan limitasi itu hanya mainan minda saja. Matlamat saya adalah untuk menjadi versi terbaik dan dikelilingi oleh komuniti semangat positif dan kepuasan untuk mencabar kemampuan diri sendiri,” katanya.

Bagi pempengaruh Hanif Loid pula, penglibatannya dalam Hyrox boleh dikatakan bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat.

Sering berkongsi tentang pemakanan dan amalan gaya hidup sihat di media sosial, Hanif, 40, cuba untuk membuktikan usia menghampiri separa abad bukan halangan untuk bersukan.

Bahkan, cabaran fungsi yang ada dalam Hyrox merupakan sebahagian daripada pergerakan dan aktiviti rutin yang kebiasaannya dilakukan.

Katanya, cabaran seperti farmers carry iaitu membawa beban di kedua-dua tangan sama seperti membawa barangan keperluan harian dari pasar raya atau barangan membeli-belah.

“Sukan ini bukan memerlukan kemampuan atau kemahiran sukan yang tinggi kerana setiap daripada kita boleh melakukannya. Tanpa had masa, umur mahupun tahap kesihatan, Hyrox menjadi sukan yang sesuai untuk semua lapisan usia dari remaja ke dewasa.

“Sukan ini juga boleh dijadikan penanda aras tahap kesihatan serta kecergasan dan bukannya sekadar berbangga miliki ‘badan cantik’,” ujarnya.

Hanif juga mengharapkan insiden yang terjadi kepada isteri pempengaruh Dr. Say Shazril iaitu Dr. Azura Abas yang dikecam netizen baru-baru ini berkaitan pakaian tidak membuatkan masyarakat menanam ideologi ‘jumud’ mengatakan penglibatan dalam Hyrox salah kerana pemakaian yang tidak sesuai.

“Masyarakat jangan terlalu cepat menilai dan ‘menghukum’ sukan itu tidak baik dilakukan kerana batasan-batasan seperti itu.

“Cara pemakaian itu adalah hak individu yang terpulang kepada atlet itu sendiri untuk berpakaian seperti apa. Jangan kerana pakaian, masyarakat terus menolak untuk libatkan diri dalam sukan seperti ini,” katanya.

Biarpun berdepan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, namun Hanif tetap optimis untuk jadikan sukan itu simbol kemenangan terhadap kemampuan kecergasan dan kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN