PETALING JAYA – Tempoh reman seorang pelajar lelaki warga asing berusia 21 tahun yang disyaki mengelar leher bekas teman wanitanya dilanjutkan sehingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa, seorang pelajar wanita warga asing berusia 20 tahun, mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku di sebuah universiti swasta di Subang Jaya pada petang Isnin, 14 Julai lalu.
Suspek ditahan serta-merta di lokasi kejadian dan direman selama empat hari sebelum tempoh tersebut dilanjutkan.
“Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Zon Merah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE