fbpx

Pearly-Thinaah tempah tiket ke final Terbuka Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah ke final Terbuka Jepun.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah memperagakan aksi cukup membanggakan di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun selepas mara ke pentas final sejurus menundukkan pasangan pilihan tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Sedar akan berdepan tentangan hebat lawan ranking No. 2 dunia tersebut, Pearly-Thinaah turun dengan permainan cukup agresif sebelum melakar kemenangan straight set 21-13, 21-11 dalam tempoh 36 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus menutup badi tujuh kekalahan berturut-turut mereka sebelum ini ke atas lawan Jepun itu dan kali terakhir Pearly-Thinaah mencipta kemenangan ke atas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu pada tahun 2022 di Terbuka Perancis.

Pasangan negara dijadual membuat perhitungan dengan salah satu daripada dua gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam misi memburu kejuaraan sulung mereka di kejohanan Super 750 berprestij itu, esok.

Aura kemenangan Pearly-Thinaah kali ini turut disokong dengan semangat baharu selepas isu kontrak mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diselesaikan secara rasmi baru -baru ini dan kekal bersama BAM hingga temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Sementara itu, impian untuk melihat beregu campuran utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke final tidak berhasil apabila terpaksa akur tumps 12-21, 16-21 kepada juara bertahan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Pertemuan itu sempat mencetuskan detik cemas apabila Ee Wei mengalami kecederaan pergelangan tangan kanan selepas berlaga raket dengan Tang Jie pada kedudukan 9-12 dalam set kedua.

Walaupun cuba bangkit, rentak mereka jelas terganggu dan gagal menyekat dominasi konsisten pasangan China yang menamatkan perlawanan dalam 38 minit.

Kekalahan itu menutup kempen separuh akhir kelima musim ini buat Tang Jie-Ee Wei dalam Jelajah Dunia BWF.

Zhen Bang-Ya Xin akan berdepan cabaran gandingan sensasi Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang membuat kejutan menyingkirkan beregu No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping untuk ke final, esok. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI