PETALING JAYA – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah Port Dickson, Negeri Sembilan mencatatkan angka 99 setakat pukul 12 tengah hari Sabtu, menghampiri paras tidak sihat menurut kategori Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurut laman web JAS, Port Dickson merekodkan IPU tertinggi, diikuti Johan Setia, Selangor (97), dan Cheras, Kuala Lumpur (94).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), dan 300 ke atas (bahaya).
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, bacaan IPU bagi Negeri Sembilan masih berada pada paras sederhana dan JAS akan mempertingkatkan rondaan untuk mencegah pembakaran terbuka.
Menurutnya, keadaan berjerebu yang mula dirasai adalah kesan daripada peningkatan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
“Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 17 Julai, sebanyak 64 titik panas telah dikesan di Sumatera dan lima titik panas di Kalimantan.
“Fenomena ini diburukkan lagi oleh keadaan cuaca kering yang sedang melanda bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, serta tiupan angin barat daya yang membawa asap dari kawasan terbakar di Indonesia ke ruang udara negara,” katanya lagi.
Ujarnya, Musim Monsun Barat Daya yang bermula sejak Jun dijangka berterusan sehingga September dan dalam tempoh ini, risiko jerebu adalah lebih tinggi, terutamanya jika berlaku pembakaran terbuka di kawasan ladang dan belukar.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak melakukan pembakaran terbuka serta melaporkan segera sebarang aktiviti pembakaran kepada pihak berkuasa.
Pada masa sama, orang awam disarankan mengurangkan aktiviti luar, terutama bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit pernafasan. – KOSMO! ONLINE