PETALING JAYA – Sebuah keluarga menjadikan kereta Perodua Viva sebagai tempat simpan barangan, selain tidur di surau kawasan rehat dan rawat (R&R) dipercayai selepas tiada tempat tinggal.
Kisah itu dikongsikan seorang pengguna Thread Azizul Mohd. Noran yang berkongsi gambar keluarga tersebut selepas membantu mereka.
Difahamkan, lokasi keluarga tersebut adalah di sekitar Sungai Buloh, Selangor.
Pada gambar itu, kelihatan dua kanak-kanak dan seorang wanita dipercayai ibu mereka yang dibantu lelaki tersebut.
“Apa entah budak-budak ni rasa bila hampir empat bulan tidur di dalam surau-surau R&R. Tak apa, kita usahakan rumah sewa secepat mungkin.
“Siapa ada rumah sewa bajet, roger ye. Deposit marhain. Kereta pun jadi ‘storage’ jer. Simpan baju-baju dan bag sekolah. Nak bawa rosak pula. Dugaan betul bhai,” katanya pada hantaran berkenaan.
Menerusi hantaran seterusnya, lelaki itu memuat naik gambar telah menemui rumah sewa dengan satu bilik dan satu bilik air untuk keluarga tersebut berharga sekitar RM650 sebulan.
Dalam pada itu, orang ramai bersimpati dengan keluarga tersebut selain mendoakan urusan mereka dipermudah oleh Allah.
“Tuan , saya doakan urusan tuan selalu dimudah, rezeki tuan selalu dimewahkan dan diluaskan lagi. Untuk keluarga tersebut, dimudahkan urusan dan dibuka pintu rezeki dan dilimpahi rezeki yang halal. Adik-adik berjayalah kamu di dunia dan akhirat untuk bantu ibu bapamu di kemudian hari. Sedih tengok sebaya adik saya saja ni,” komen seorang pengguna Thread.
“Terima kasih tuan bantu. Sedih tengok bila keadaan mendesak,” kata seorang individu.
“Allahu empat bulan bukan masa yang singkat,” ujar yang lain. – KOSMO! ONLINE