JOHOR BAHRU – Feri antarabangsa yang menghubungkan Terminal Feri Pasir Gudang, di sini ke Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia telah ditetapkan untuk dipandu dengan kelajuan di bawah 12 knot ketika melalui kawasan perkampungan penduduk.
Pengurus Besar Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn. Bhd., Mohd. Tuah Mohd. Amin berkata, kelajuan tersebut ditetapkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui telah menerima aduan daripada komuniti nelayan serta penduduk setempat berhubung kelajuan feri ketika melalui lima perkampungan yang terjejas.
“Beberapa inisiatif telah diambil termasuklah dengan mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk serta kapten beberapa feri yang beroperasi di Terminal Feri Pasir Gudang.
“Had kelajuan dibenarkan di kawasan berkenaan adalah 12 knot, jadi feri tidak boleh melebihi kelajuan berkenaan. Ini adalah had minimum, jika lebih perlahan feri tidak akan bergerak dan ia boleh rosakkan enjin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Mohd. Tuah, pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan operator feri terlibat bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi demi kesejahteraan komuniti setempat.
“Di sini hanya ada 10 slot perjalanan sehari, bermakna kami hanya melintasi kawasan itu sebanyak 20 kali, berbeza berbanding Terminal Feri di Stulang Laut yang mempunyai sekali ganda lebih slot perjalanan,” jelasnya.
Beliau menjawab rungutan daripada penduduk yang meminta supaya operator memastikan feri bergerak perlahan ketika melalui kawasan perkampungan nelayan.
Malah, penduduk turut memaklumkan mereka tidak kisah sekiranya feri tersebut dipandu laju di kawasan lain.
Dakwa penduduk, pengendali feri hanya memperlahankan kelajuan apabila mereka memasuki perairan Singapura, tetapi tidak berbuat demikian di sini.
Lima perkampungan terjejas adalah Kampung Orang Asli Teluk Kabong, Kampung Pasir Puteh, Kampung Orang Asli Kuala Masai, Kampung Orang Asli Teluk Jawa dan Kampung Senibong.















