BRUSSELS – Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) hari ini menandatangani pakej baharu sekatan ke atas Russia berhubung perangnya di Ukraine, termasuk menurunkan harga siling pada eksport minyak Moscow.
Pusingan ke-18 ‘hukuman ekonomi’ terhadap Russia sejak pencerobohannya pada 2022 diluluskan selepas Slovakia menggugurkan penentangan selama berminggu-minggu.
Tentangan itu dibuat susulan perbincangan Bratislava dengan EU berhubung rancangan berasingan untuk menghentikan import gas Moscow secara berperingkat.
“EU baru sahaja meluluskan salah satu pakej sekatan terkuatnya terhadap Russia setakat ini. Setiap sekatan melemahkan keupayaan Russia untuk melancarkan perang.
“Mesejnya jelas, Eropah tidak akan berundur dalam memberikan sokongannya terhadap Ukraine. EU akan terus meningkatkan tekanan sehingga Russia menamatkan perangnya,” kata Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.
Pemimpin Slovakia yang mesra Russia, Robert Fico menggugurkan penentangannya selepas mendapat jaminan daripada EU mengenai harga gas ketika blok itu mendesak untuk memotong import Russia menjelang akhir 2027.
Sebagai sebahagian daripada sekatan baharu yang direka untuk melemahkan Moscow, diplomat-diplomat berkata, EU telah bersetuju untuk menurunkan harga siling minyak Russia yang dieksport ke negara ketiga di seluruh dunia kepada 15 peratus di bawah nilai pasaran.
Di bawah skim EU baharu yang dijangka mendapat sokongan sekutu daripada negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) seperti Britain dan Kanada, had harga baharu minyak akan bermula pada AS$47.6 (RM202) dan boleh berubah pada masa hadapan.
Selain itu, pegawai berkata, EU sedang menyenaraihitamkan lebih 100 lagi kapal tangki yang digunakan oleh Russia dalam sekatan eksport minyak. – AFP