KUALA LUMPUR – Polis masih belum menemui sebarang petunjuk kukuh berhubung kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh walaupun lebih tiga bulan siasatan dijalankan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, sehingga kini seramai 48 saksi telah dirakam keterangan termasuk dari dalam dan luar negara, namun usaha itu masih belum membawa kepada perkembangan signifikan.
“Setakat ini siasatan masih berjalan, namun tidak banyak petunjuk yang dapat membantu kita untuk menyelesaikan kes ini.
“Malah fotofit yang diperoleh juga tidak membantu setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Pamela Ling, 52, dilaporkan hilang selepas menaiki sebuah kenderaan e-hailing dari kediamannya di Kota Damansara ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada pagi 9 April lalu.
Pemandu e-hailing terbabit kemudian membuat laporan polis, mendakwa wanita berkenaan telah ‘dibawa pergi’ oleh tiga individu yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebaik kenderaan mereka tiba berhampiran bangunan SPRM. – KOSMO! ONLINE