TANGKAK – Enjin kereta milik seorang warga emas yang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Muar di jambatan Panchor, Jalan Panchor – Gersik, di sini pagi semalam didapati masih lagi hidup dan tidak berkunci ketika ditemui orang awam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 8.54 pagi daripada anak mangsa memaklumkan bahawa mangsa, Mesuan Sadiken, 62, disyaki telah terjatuh ke dalam Sungai Muar dari atas jambatan berkenaan.
“Mangsa warga emas dilaporkan keluar seorang diri pada pukul 6 pagi dari Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu, Gersik, dengan memakai pakaian baju kemeja kotak lengan pendek dan kain pelekat warna biru, serta menaiki kereta jenis Mazda CX5 warna kelabu.
“Pada pukul 7.50 pagi, anak mangsa mendapat panggilan telefon daripada kakaknya memberitahu dia telah menghubungi telefon bimbit mangsa dan telah dijawab oleh orang awam yang memaklumkan telah terjumpa kereta mangsa di atas jambatan di situ.
“Anak mangsa mengesyaki mangsa telah terjatuh ke dalam Sungai Muar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis, bomba dan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu penduduk setempat telah memulakan operasi cari lamat (search and rescue) dan sehingga kini mangsa masih belum dijumpai. Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar dan jika ada mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya kepada Balai Polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9785222. – KOSMO! ONLINE