ORANG ramai perlu berhati-hati kerana dengan scammer biarpun berada di Tanah Suci . - GAMBAR HIASAN

Hati-hati, di Kota Mekah pun ada scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kita sering membaca mengenai tindakan penipuan ‘online’ yang memanipulasi orang ramai hingga terjerat dan kerugian sehingga jutaan ringgit.

Percaya atau tidak, tempat suci umat Islam dari seluruh dunia untuk melakukan ibadah iaitu Mekah dan Madinah tidak terkecuali dan mereka yang menjalankan aktiviti tidak bertanggungjawab ini sanggup menipu sesama Islam seolah-olah tidak takut dengan dosa.

Sebelum berangkat menunaikan umrah ke Haramain baru-baru ini, penulis pernah mendengar kisah modus operandi ‘scammer’ di Kota Mekah yang berpura-pura meminta bantuan kewangan kononnya sedang terdesak.

Antara alasan biasa yang diberikan duit kena curi, ingin membeli tiket penerbangan balik dan sebagainya dan kebiasaannya mereka ini datang dari Asia Selatan.

Mereka biasanya menyasarkan jemaah haji atau umrah dari Malaysia yang menang terkenal dengan sikap pemurah.

Itu yang terjadi kepada penulis ketika duduk untuk menunggu solat maghrib di Masjidil Haram. Biasanya jemaah sebelah jarang tersenyum atau mahu bersalam terutama orang Arab yang muka mereka agak ‘ketat’ terutama bila bertemu jemaah dari Asia Tenggara.

Perkara pelik terjadi, tiba-tiba jemaah di sebelah kiri menyentuh bahu penulis dan bersalam serta mula berbicara dalam bahasa Inggeris : “Can You Speak English? (Bolehkah kamu bercakap bahasa Inggeris?).”

Dia mula membuka cerita datang dari Kashmir dan merupakan penuntut di Universiti Madinah dan tanpa segan silu meminta sedikit bantuan kewangan.

Penulis yang sudah tahu dengan taktik tersebut hanya menggelengkan kepala. Lelaki itu tidak putus asa dan mencuba sekali lagi tetapi selepas tidak dilayan dia terus ke depan untuk mencari mangsa seterusnya.

Tidak terhenti di situ, penulis menerima ujian kedua selepas melakukan tawaf, saei dan bertahalul dan masuk semula ke ruangan kaabah kerana mahu mencuba nasib, kalau tidak dapat mencium hajarul aswad, sekurang-kurangnya dapat berdoa di multazam pun jadilah.

Ketika itulah entah dari mana tiba-tiba muncul dua individu yang kononnya mahu memberi bantuan untuk penulis mencium hajarul aswad.

Ini kerana sebelum ini banyak tersebar taktik mereka akan tolak orang lain yang ada di sekeliling dan kemudian mengenakan cas dengan jumlah bayaran tak masuk akal.

Itu belum apa-apa, kerana salah seorang mutawif pernah mengatakan terdapat ejen di Tanah Suci Mekah yang mengendalikan urusan memajak hotel kepada individu yang membawa jemaah tetapi kemudian melarikan wang.

Apabila berada di Tanah Suci, jangan kita percayakan orang yang baru dikenali dan kelihatan baik kerana berkemungkinan mempunyai muslihat. Sentiasa berdoa agar dilindungi daripada kejahatan dan dipermudahkan segala urusan oleh Allah.

Berhati-hati dengan tawaran yang mencurigakan, jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan tawaran seseorang, lebih baik jangan terima.

Jangan kita beranggapan di Mekah dan Madinah tidak ada orang mengambil kesempatan untuk menipu kerana perlu diingat Abu Jahal pun hidup di Mekah satu ketika dahulu dan banyak menyusahkan urusan dakwah Rasulullah SAW.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN