Pada minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagaimanapun berkata, surat yang dihantar Trump bagi memberitahu tentang tarif itu ditulis secara umum dan Putrajaya masih mempunyai waktu untuk berunding.
Pada tahun lalu, AS adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM324.9 bilion.
Pakar ekonomi yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr. Tan Peck Leong berkata, jika itu dilaksanakan, barangan dari Malaysia akan menjadi lebih mahal dan kurang kompetitif berbanding produk dari negara lain di AS.
“Ia boleh menyebabkan pengurangan permintaan terhadap barangan Malaysia, terutamanya dalam sektor yang selama ini bergantung kepada eksport ke AS seperti produk getah dan peralatan elektrik.
“Sebagai tindak balas kepada penurunan permintaan ini, kilang-kilang di Malaysia yang bergantung kepada pasaran eksport ke AS mungkin terpaksa mengurangkan pengeluaran mereka,” ujarnya.
Katanya, kilang-kilang itu termasuk yang menghasilkan sarung tangan getah, komponen elektronik dan mesin perindustrian.
Beliau berkata, golongan yang paling terkesan adalah pekerja migran kerana majoriti kilang dipenuhi oleh tenaga kerja asing.
Pengurangan operasi atau pemberhentian pengeluaran boleh menyebabkan ramai pekerja migran kehilangan pekerjaan terlebih dahulu berbanding pekerja tempatan.
“Ini akan memberi kesan sosioekonomi terutama sekali dalam sektor yang selama ini sangat bergantung kepada buruh asing,” ujarnya.
Bagaimanapun tambahnya, kesan itu mungkin bersifat sederhana dalam jangka pendek kerana banyak barangan Malaysia yang dieksport ke AS adalah produk penting dan sukar digantikan.
“Contohnya ialah sarung tangan perubatan dan papan litar elektronik,” katanya.
Namun, dalam jangka panjang, permintaan yang menurun boleh memberi tekanan kepada pengilang tempatan dan mewujudkan ketidaktentuan bagi perniagaan yang kurang fleksibel.
Katanya, Malaysia perlu menggunakan sepenuhnya ruang rundingan yang diberikan AS sebelum tarikh pelaksanaan tarif tersebut.
“Negara perlu kemukakan alasan yang kukuh untuk menjustifikasikan pengurangan atau penghapusan tarif tersebut,” katanya.
Sebagai contoh, Malaysia boleh menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh eksportnya dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam produk yang kurang boleh diganti seperti papan litar dan komponen elektronik.
Malaysia boleh menawarkan cadangan balas seperti meningkatkan import produk dari AS untuk membantu mengimbangi defisit perdagangan dua hala.
“Ini boleh dijadikan sebagai tawaran strategik yang memperlihatkan komitmen Malaysia untuk bekerjasama secara konstruktif dan mewujudkan hubungan perdagangan yang saling menguntungkan,” tambahnya.
Peck Leong berkata, walaupun tidak diingini, tarif itu boleh dijadikan sebagai pemangkin kepada Malaysia untuk mempertingkatkan daya saing industri tempatan dengan menumpukan kepada pengeluaran produk berkualiti tinggi yang mampu bersaing dari segi nilai dan inovasi.














