JASIN – Seketul objek dipercayai bom lama yang masih aktif seberat 227 kilogram ditemui di kawasan kebun kelapa sawit Felda Bukit Senggeh, Nyalas di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, bom tersebut telah dijumpai pemilik kebun berkenaan ketika dia melakukan kerja-kerja pembersihan pada pukul 1.47 petang.
Katanya, sepasukan Unit Pemusnah Bom dari Cawangan Persenjataan, Bahagian Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah digerakkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
“Kita menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan menjumpai objek disyaki bom lama.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan merupakan sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) kategori berat 227 kilogram yang masih aktif dan berbahaya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, tindakan pemusnahan akan dilakukan esok mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh Unit Pemusnah Bom bagi memastikan keselamatan kawasan dan orang awam.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya.- KOSMO! ONLINE