TANJUNG MALIM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkasa program kesedaran dan ujian Saringan Kanser Serviks (HPV DNA) melibatkan wanita berumur 30 tahun ke atas di kawasan pedalaman terutamanya di perkampungan Orang Asli.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ujian itu bersifat kritikal selain diadakan kepada wanita secara percuma bagi membantu mereka memerangi gejala penyakit kanser serviks.
“Kami memberikan perkhidmatan itu percuma yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Sekiranya mereka (wanita masyarakat Orang Asli) pergi melakukan ujian itu di klinik swasta kosnya sekitar RM300.
“Mungkin sesetengah mereka pernah melakukan ujian tersebut atau tidak pernah melakukannya. Kami tiada datanya. KPWKM boleh bekerjasama rapat dengan Tok Batin atau pemimpin masyarakat setempat bagi tujuan ini,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau, Ulu Slim, Slim River di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program CSR Teknikal dan Komuniti Pos Tenau: Sentuhan Ilmu dan Khidmat Pakar anjuran Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) yang bermula Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE