BAYANGKAN jika seseorang terlibat dalam runtuhan bangunan dan terperangkap di bawahnya, cara untuk menyelamatkan diri adalah dengan menjerit meminta tolong sehingga bantuan tiba.
Namun, cara itu belum pasti dapat membantu pasukan menyelamat mengesan kedudukan mangsa yang mungkin berada jauh di bawah timbunan runtuhan dan terhalang oleh batu-batu konkrit.
Sekiranya berlaku runtuhan bangunan, misi untuk mencari mangsa yang tertimbus boleh mengambil masa berhari-hari susulan kesukaran mengesan kedudukan mereka di bawah runtuhan.
Bagi mengatasi situasi tersebut, para penyelidik melihat keperluan kepada satu mekanisme baharu untuk mengesan kedudukan mangsa bencana runtuhan.
Hasilnya, satu solusi telah berjaya ditemui iaitu memanfaatkan serangga bagi membantu mencari mangsa bencana yang sukar ditemui oleh penyelamat.
Menurut penyelidik daripada University of Queensland di Australia, Dr. Thang Vo-Doan, hasil kajian terkini, pihaknya mendapati bahawa kumbang hitam yang dikawal dari jauh dan membawa peranti seperti beg galas (backpack) boleh mencari mangsa di bawah runtuhan.
Kumbang tersebut boleh digunakan untuk membantu mencari mangsa yang terperangkap di dalam bangunan atau lombong runtuh.
“Para saintis Australia memasang mikrocip pada kumbang hitam jenis Zophobas morio yang membolehkan ia dikawal menggunakan alat kawalan seperti permainan video.
“Peranti tersebut dapat merangsang antena dan sayap kumbang itu melalui elektrod.
“Malah, serangga ini mempunyai banyak kelebihan semula jadi seperti memanjat dan bergerak di ruang sempit yang sukar diakses oleh robot,” katanya dalam portal Independent.
Tambah Vo-Doan, para penyelidik juga berjaya mengarahkan kumbang yang dikenali sebagai Cyborg Beetle itu bergerak ke kiri, kanan dan memanjat dinding vertikal.
Projek itu dikendalikan oleh Vo-Doan dan pembantu penyelidik Lachlan Fitzgerald dari makmal biorobotics, School of Mechanical and Mining Engineering, University of Queensland dengan kerjasama Universiti NSW dan Nanyang Technological University di Singapura.
Kongsi Vo-Duan, biarpun ujian awal dilakukan dengan bekalan kuasa berwayar, namun kumbang masih mampu memanjat dengan menggunakan bateri seberat badannya sendiri.
Kini, pasukan penyelidik sedang membangunkan mikrocip yang boleh dipasang kamera kecil dan sistem kuasa lebih padat serta efisien untuk meningkatkan mobiliti kumbang tersebut.
“Jika seseorang terperangkap di bawah timbunan runtuhan, anda mesti mahu mencari dan segera mengeluarkan mereka.
“Teknologi ini boleh digunakan dalam misi menyelamat sebenar dalam tempoh lima tahun.
“Alat ini juga dapat membantu mengesan lokasi mangsa, memberi petunjuk tentang kecederaan dan membantu penyelamat memahami keadaan runtuhan sebelum usaha menyelamat dilakukan,” ujarnya.

Cyborg Beetle dibangunkan dengan gabungan unsur biologi dan teknologi mikro elektronik untuk menghasilkan sistem kawalan jauh pada serangga hidup.
Melalui manipulasi otot, otak dan reseptor antena, kumbang itu boleh diarahkan untuk terbang, membelok, mendarat atau bergerak di permukaan sempit yang tidak dapat dicapai oleh robot konvensional.
Untuk makluman, konsep kumbang siber bermula seawal tahun 2006 melalui projek Hybrid Insect Micro-Electro-Mechanical Systems (HI-MEMS) yang dibiayai oleh sebuah agensi pertahanan Amerika Syarikat.
Kajian awal mendapati, apabila elektrod dimasukkan secara tepat ke dalam otot penerbangan dan lobus otak kumbang, arahan radio jarak jauh boleh digunakan untuk mengawal pergerakan serangga tersebut.
Menurut satu artikel daripada Universiti California, alat elektronik (backpack) yang digunakan seberat sekitar satu gram itu cukup kecil dan tidak mengganggu sistem biologi kumbang.
Backpack itu terdiri daripada mikro pemproses, pemancar radio, bateri kecil dan wayar mikro yang disambungkan ke titik neuromuskular tertentu.
Dalam pada itu, pakar biorobotik daripada Nanyang Technological University, Dr. Hirotaka Sato berkata, penyelidikan terkini oleh University of Queensland telah menggunakan rangsangan pada antena kumbang untuk mengawal arah gerakannya.
Teknik itu terbukti lebih stabil dan kurang invasif berbanding stimulasi otot secara langsung.
“Salah satu cabaran utama adalah memastikan peralatan elektronik itu cukup ringan dan tidak mengganggu tingkah laku semula jadi serangga.
“Kami tidak mencipta robot. Kami menggunakan sistem semula jadi ciptaan alam dan hanya menambahkan sedikit ‘otak digital’ untuk mengarahkan serangga,” kongsinya.
Otak digital yang digelar sebagai backpack itu terdiri daripada pemproses mikro, pemancar radio dan sumber kuasa ringan.
Menariknya, para penyelidik menggunakan kaedah rangsangan pada antena kumbang Zophobas morio, dan mendapati arah pergerakan serangga itu boleh dikawal tanpa perlu menembusi otak.
Sementara itu, pakar kejuruteraan elektrik dan sains komputer daripada UC Berkeley, Amerika Syarikat, Prof. Michel Maharbiz menjelaskan, kumbang siber tidak hanya menjadi bukti keupayaan teknologi, malah berpotensi memainkan peranan dalam operasi dunia sebenar.
Ini termasuk misi mencari dan menyelamat di kawasan bencana seperti bangunan runtuh atau terowong sempit, pemantauan alam sekitar dalam zon berbahaya seperti loji nuklear serta hutan terpencil.
“Serangga ini boleh menjadi alat penderia mudah alih. Ia kecil, cekap tenaga dan dapat pergi ke tempat yang tiada robot buatan manusia mampu capai.
“Sistem biologi serangga memberi asas struktur dan pergerakan yang jauh lebih canggih daripada mana-mana mesin miniatur yang direka oleh manusia pada hari ini,” katanya.
Berkongsi tentang masa depan kumbang siber, profesor kejuruteraan mekanikal di Carnegie Mellon University, Dr. Sarah Bergbreiter berkata, salah satu penyelidikan baharu adalah menggabungkan sistem kawalan jauh dengan kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian komunikasi antara kumbang.
Jelasnya, idea itu membolehkan sekumpulan kumbang dikenali sebagai ‘swarm’ beroperasi secara kolektif untuk menyelesaikan tugas kompleks.
“Para penyelidik sedang membangunkan sel biobahan api iaitu sumber tenaga yang dihasilkan terus daripada bahan dalam tubuh serangga.
“Ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada bateri dan memanjangkan hayat operasi.
“Biorobotik bukan sekadar cuba meniru alam, tetapi belajar memahami serta bekerjasama dengan sistem biologi bagi mencipta teknologi lebih ringan, pintar dan lestari,” ujarnya.















