SUFI IRFAN mengharumkan nama negara dengan memenangi pertandingan itu bagi kategori Confectionery Arts iaitu pencuci mulut.

Kejutan ‘chef UiTM’ di YCI 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGHARUMKAN nama negara dengan menewaskan chef-chef profesional muda luar negara.

Itulah pencapaian hebat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Sufi Irfan Mohamad Rusdin yang berjaya meraih pingat emas bagi kategori Confectionery Arts di pertandingan Young Chef International (YCI) 2025 yang berlangsung di Kazan, Tatarstan, Russia baru-baru ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari, UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang itu berjaya menewaskan peserta dari 13 negara lain antaranya Russia, Indonesia, Azerbajian dan Turkiye.
Sufi Irfan, 23, sendiri tidak menyangka akan memenangi pingat emas dalam pertandingan tersebut dan menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan diraihnya.

Menurutnya, dia yang mewakili UiTM dan Malaysia perlu bersaing dengan peserta-peserta hebat dari banyak negara.

Pertandingan tersebut bertahap profesional dan rata-rata peserta adalah chef profesional di hotel atau industri negara masing-masing.

“Saya terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang dan ia sesuatu yang langsung tidak saya jangka.

“Dalam masa sama, saya juga teruja dan perasaan saya lega kerana penat lelah menjalani latihan di dapur akhirnya membuahkan hasil,” katanya yang berasal dari Kampung Paloh Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

Tambahnya, untuk menyertai pertandingan tersebut dia menjalani latihan selama dua minggu berturut-turut dan kerja kerasnya terbalas dengan kejayaan itu.

Bagi kategori Confectionery Arts, juri menilai kemahiran peserta dalam hasilkan pencuci mulut, kek, coklat dan pastri. Antara aspek dinilai termasuk rasa, tekstur, kreativiti, persembahan, ketepatan teknik dan kebersihan semasa penyediaan.

Untuk hidangan pencuci mulut tersebut dia menyediakan menu bingka labu yang disertakan dengan sos oren mandarin bersama mousse coklat, buah-buahan segar dan hiasan gula.

Mengulas bagaimana dirinya boleh terpilih mewakili UiTM dan negara untuk pertandingan tersebut, Sufi Irfan berkata, dia terpilih selepas melalui penilaian rapi oleh pensyarah, selain memiliki rekod pencapaian memberangsangkan dalam pertandingan peringkat kebangsaan sejak menuntut peringkat diploma lagi.

“Ini bukan kali pertama saya sertai pertandingan memasak dan sebelum ini saya pernah masuk Prakelayakan World Skill Malaysia Belia (WSMB) 2022 di UiTM Dungun.

“Pada 2023, saya menyertai Melaka Culinary Challenge dan berjaya memenangi pingat gangsa. Selain itu, saya juga pernah menyertai Battle of The Chef di Spice Arena Pulau Pinang pada 2024,” jelasnya.

Tambahnya, untuk YCI ia adalah pertandingan paling besar yang disertainya dan merupakan penampilan pertama bertanding di luar negara.

Untuk pertandingan tersebut, selain menyediakan hidangan pencuci mulut dia turut menyediakan menu lain.

Dia juga menyediakan hidangan pembuka selera iaitu ikan kod goreng rangup dengan salad tomato dan basil bersama sos lemon.

Sementara untuk hidangan utama dia menyediakan tenderloin daging lembu marmar disajikan dengan jus kari, sayur bersama cendawan kukur tempatan dan kentang rosti.

Bagaimanapun hidangan pencuci mulut yang memberi kemenangan kepadanya.
Sufi Irfan berada di Kazan lebih seminggu.

Menurut Sufi Irfan, dua minggu sebelum pertandingan tersebut berlangsung dia telah membuat persiapan dari segi latihan memasak, mengatur masa dan uji rasa.

“Latihan ini penting bagi memastikan hidangan disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan mempunyai rasa seimbang dan persembahan menarik.

“Menu untuk pertandingan ini dipilih dan telah direka cipta oleh pensyarah saya sendiri iaitu Chef Ahmad Fauzan selaku chef jurulatih dan Chef Syafiq sebagai pengurus pasukan di UiTM Pulau Pinang.

“Untuk menu ini juga ada sentuhan tradisional Melayu yang saya mahu ketengahkan, supaya juri dapat rasa keaslian serta kreativiti dalam hidangan saya,” ujarnya.

Sufi Irfan menjelaskan, dalam pertandingan tersebut dia juga berhadapan dengan cabaran masa untuk penyediaan bahan masakan.

Pelajar pengurusan seni kulinari itu menyertai pertandingan YCI 2025 mewakili UiTM dan Malaysia.

Masa agak terhad dan dia perlu fokus untuk pastikan semuanya sempurna.

“Secara keseluruhan semuanya berjalan mengikut perancangan, apa yang saya berlatih itulah yang saya lakukan di dapur pertandingan.

“Untuk pertandingan ini, saya perlu gabungkan bahan-bahan mentah dari Kazan seperti ikan kod, daging, minyak masak, tepung dan lain-lain lagi,” katanya.

Dalam pada itu, menceritakan tentang bagaimana dia boleh meminati bidang masakan, Sufi Irfan berkata, minatnya itu bermula sejak kecil lagi.

Ketika kecil, dia suka melihat ibu dan bapanya masak di dapur dan daripada situ timbul rasa ingin mencuba.

Lama-kelamaan dia semakin serius dan mengambil keputusan untuk belajar memasak secara formal dalam bidang kulinari.

Sebagai pelajar dalam bidang kulinari, Sufi Irfan menjelaskan dia juga berhadapan dengan cabaran tersendiri.

Bagi Sufi Irfan, antara cabaran utama yang dihadapinya sebagai pelajar dalam bidang tersebut ialah pengurusan masa antara teori dan latihan praktikal, kos bahan latihan yang tinggi dan tekanan untuk sentiasa menghasilkan makanan berkualiti tinggi.

Namun, sokongan pensyarah dan semangat rakan-rakan sekelas membantunya mengatasi cabaran ini.

Menurutnya, jika ada peluang dia ingin menyertai lebih banyak pertandingan memasak.

“Ia juga satu cara untuk saya mengasah bakat dan belajar daripada orang lain.

“Selain itu, saya juga ingin sambung pengajian hingga peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam gastronomi supaya saya boleh mencapai cita-cita untuk menjadi chef pensyarah di UiTM suatu hari nanti,” ujarnya.

Dalam bidang kulinari, Sufi Irfan berkongsi, dia menjadikan chef selebriti popular, Chef Wan sebagai idolanya.

Baginya Chef Wan bukan sahaja terkenal di Malaysia, tetapi juga dikenali di peringkat antarabangsa.

“Saya menjadikannya sebagai idola kerana dia sangat berdedikasi dalam memartabatkan masakan Melayu di mata dunia.

“Selain itu, personalitinya yang ceria dan cara beliau menyampaikan ilmu kulinari dengan penuh semangat telah memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seorang chef yang bukan sahaja mahir memasak, tetapi juga mampu menyampaikan ilmu dengan cara yang menarik,” katanya.

Sufi Irfan menanam hasrat untuk menyertai lebih banyak pertandingan kulinari di peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

Dalam masa yang sama, Sufi Irfan juga mempunyai impian untuk membuka sebuah restoran bertaraf antarabangsa yang mengetengahkan masakan tradisional Melayu dengan sentuhan moden.

Impian lain yang ditanam dalam dirinya adalah ingin menjadi seorang pendidik dalam bidang kulinari agar dapat berkongsi ilmu dan pengalaman kepada generasi akan datang.

Sufi Irfan juga menitipkan pesan buat generasi muda di luar sana yang berminat dalam bidang kulinari supaya jangan takut untuk mencuba.

“Bidang ini memang mencabar, memerlukan ketekunan dan semangat yang tinggi, tetapi sangat menyeronokkan jika kita benar-benar minat.

“Sentiasa bersikap terbuka untuk belajar perkara baharu, jangan cepat putus asa, dan paling penting, kekalkan disiplin serta semangat ingin maju,” ujarnya.

Tambahnya, bakat sahaja tidak cukup kerana usaha dan ketekunan adalah kunci kejayaan dalam dunia kulinari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN