fbpx

‘Aku tak kesian… salah tetap salah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan seorang remaja lelaki dibawa lari oleh ibu bapanya selepas perbuatan mencuri terbongkar.

PETALING JAYA – Tindakan sepasang suami isteri cuba melarikan diri selepas anak mereka yang dipercayai ditahan kerana mencuri di sebuah pasar raya mengundang kecaman netizen.

Menerusi satu perkongsian tular di Facebook, kejadian itu dipercayai berlaku apabila seorang remaja lelaki didapati mengambil beberapa pek makanan ringan tanpa membuat bayaran di kaunter pembayaran.

Kejadian disedari oleh pengurus pasar raya terbabit yang kemudian menahan remaja tersebut dan memanggil pekerjanya untuk menghubungi pihak polis.

Lebih mengejutkan, ibu kepada remaja berkenaan yang berada di lokasi kejadian menyatakan bahawa dia boleh membayar barang tersebut, namun pengurus tetap tidak membenarkan mereka keluar dari premis itu.

Tidak lama kemudian, bapa remaja tersebut tiba sebelum pasangan berkenaan membawa anaknya melarikan diri dari pasar raya dengan tergesa-gesa menaiki sebuah kereta jenis Toyota Avanza.

Pekerja pasar raya tersebut sempat mengejar dan merakam nombor plat kenderaan sambil menghubungi polis.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak bersimpati, malah mengecam tindakan ibu bapa yang cuba melindungi kesalahan anak.

“Aku tak kesian… salah tetap salah. Pernah jumpa mak rekrut anak mencuri, kalau tak kantoi dan viral, lain hari buat lagi. Moga jadi pengajaran,” kata Noriza Mat Jani.

“Kenapa biar anak mencuri? Ibu bapa patut ajar supaya jadi orang baik. Biar hidup susah, jangan ajar mencuri,” komen Nurfarisya Farisya.

“Kesian anak tu, gelap masa depan sebab mak ayah. Patut sumbat mak ayah tu ke dalam (penjara),” ujar Zarinah Ghazali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar berkata, pihaknya sedang mengesan remaja lelaki berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencuri di sebuah pasar raya di daerah ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil.

“Pihak polis kini dalam tindakan untuk kesan dan menangkap suspek tersebut. Perkembangan tangkapan akan dimaklumkan selepas suspek berjaya ditangkap,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI