fbpx
UMIBAIZURAH bergambar dengan karya-karya terbaharunya dalam siri Rekah. – AFIQ RAZALI

Rekah bawa seni arca ke atas kanvas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA mata kasar, rekahan merupakan sesuatu yang tidak sempurna, malah dianggap sebagai sebuah kecacatan.

Namun, apabila difahami secara lebih mendalam, rekahan adalah sebahagian daripada elemen semula jadi yang menyumbang kepada keseimbangan kitaran hidup.

Dianggap sebagai kecantikan dalam kesempurnaan, keindahan dalam ketidaksempurnaan, ideologi rekah ini juga memberi makna mendalam buat penggiat seni kreatif yang juga artis visual tanah air, Umibaizurah Mahir@Ismail dalam siri karya baharunya, Rekah.

Menurutnya yang lebih dikenali menerusi seni arca seramik, Rekah diilhamkan daripada alam semula jadi yang diterjemah dari sudut pandang situasi semasa, memori masa lalu dan kesan alam akibat campur tangan manusia.

“Rekah membawa satu sudut pandang berbeza terhadap sebuah kecacatan yang sebenarnya merupakan lumrah alam menerusi mesej yang ditafsir di atas sebuah kanvas,” terangnya.

Rekah bukan sekadar refleksi alam, tetapi terjemahan emosi, memori dan realiti semasa yang dilakar pada permukaan kanvas dan juga diserlahkan melalui lapisan gerlis ke atas arca seramik.

“Karya ini membawa terjemahan rekah dalam pelbagai elemen alam bersama cebisan memori dalam olahan menggunakan medium semula jadi seperti tanah liat, tanah, pasir, batu dan sepihan seramik bagi mewujudkan retakan seperti rupa bumi yang merekah,” katanya ketika ditemui CitaRasa di studionya Hinggap Art Space di Patisatu, Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.

UMIBAIZURAh dikenali dengan penghasilan seni arca sebelum ini.

Tambahnya, siri Rekah yang mewarnai lanskap seni visual tanah air sejak tahun lalu di Galeri Sareng, Kuala Lumpur tampil berbeza kerana kali ini beliau menggabungkan lukisan dan arca di atas kanvas. 

Tidak seperti sebelum ini yang hanya menggunakan tanah pada arca, beliau kini turut mengaplikasikannya ke atas kanvas dengan menjadikan tanah sebagai elemen utama dalam lukisan dan naratif karya.

Kongsi Umibaizurah yang baru sahaja pulang dari program residensi selama dua bulan di Cité Internationale des Arts Paris, Perancis, program itu membuka ruang untuknya mengembangkan siri Rekah dengan penyampaian yang lebih tajam melalui penggunaan medium dari sumber bumi.

Ia bukan sahaja menguatkan mesej tentang kesan pembangunan pesat dan eksploitasi ekstraktif terhadap persekitaran fizikal, tetapi turut menyentuh soal warisan, identiti dan hubungan mendalam manusia dengan alam sebagai asas kewujudan.

Setiap karya bukan sekadar permainan warna, tetapi juga eksplorasi tekstur, simbol dan kesan fizikal yang terbentuk daripada campuran bahan yang bertindih di atas kanvas.

Jelasnya, penggunaan warna mewakili elemen alam yang menghidupkan unsur rekah secara metafora terhadap setiap karya-karyanya.

“Penggunaan medium alam membuka ruang dialog yang responsif terhadap konteks dan membina hubungan mendalam antara saya dengan persekitaran. 

“Tanah dan bahan semula jadi membawa sifat rendah diri, namun kaya makna sebagai perantara emosi, sejarah dan tempat,” ujarnya.

Bagi tahun 2025, siri Rekah diteruskan dengan karya-karya terbaharu seperti Tanjung Samar, Busyrah di Seberang Jaga, Risalah Alam, dan Sebentuk Tanah, Seluas Samudera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN