LONDON – Christian Horner bakal mengaut pampasan sekitar £50 juta (RM287.35 juta) daripada Red Bull Racing selepas ‘ditendang keluar’ sebagai Prinsipal Pasukan Formula Satu (F1) baru-baru ini.
Horner berpeluang meraih pampasan luar biasa daripada pasukan berpangkalan Milton Keynes, United Kingdom tersebut memandangkan pengendali berusia 51 tahun itu masih terikat kontrak lima tahun yang dijadualkan tamat pada 2030.
Walaupun digugurkan serta-merta daripada tugas operasi, Horner secara teknikal masih lagi seorang kakitangan Red Bull yang sah sementara peguam kedua-dua pihak merundingkan terma penyelesaian penuh.
Dalam ucapan terakhirnya di ibu pejabat Red Bull di Milton Keynes, Horner dilihat sebak apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh pasukan kendaliannya itu.
“Apabila saya tiba 20 tahun lalu, saya tidak tahu apa yang menanti. Tapi kami membina sesuatu yang luar biasa bersama-sama. Menjadi sebahagian daripada pasukan ini adalah keistimewaan terbesar dalam hidup saya,” ujarnya.
Horner, 51, dipecat pada Rabu lalu selepas 20 tahun menerajui Red Bull dan satu keputusan mengejutkan seluruh komuniti F1.
Sepanjang dua dekad itu, Horner telah menjulang lapan kejuaraan dunia pemandu, enam kejuaraan pengeluar dan memenangi 124 perlumbaan.
Horner kini dikaitkan dengan beberapa pasukan utama termasuk Ferrari, Alpine dan Aston Martin. Spekulasi mengaitkan beliau sebagai calon pengganti kepada Fred Vasseur yang kini sedang berdepan tekanan di Ferrari. – AGENSI