fbpx

Malaysia kuat kuasa larang pindah minyak haram antara kapal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad pada Sidang Akhbar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Malaysia akan melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya terhadap peraturan berkaitan aktiviti pemindahan minyak mentah secara haram antara kapal (ship to ship transfer) di perairan negara, bermula bulan ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana kapal yang dikesan melakukan aktiviti haram termasuk menyita dan mengenakan denda terhadap kapal terbabit.

“Kita selalu dituduh memudahkan aktiviti ‘ship to ship transfer’ dan ada yang berlaku di kawasan yang memang dalam sempadan perairan kita. Jadi sekarang, kita akan kuatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat.

“Kita tidak mahu lagi dituduh sebagai negara yang memudahkan aktiviti seperti ini.

“Kita akan pertahankan perairan kita supaya aktiviti sebegini dapat dicegah,” katanya pada sidang media penutup selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AAM) ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan ini akan bermula pada bulan Julai selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“Ia akan dikuatkuasakan tidak lama lagi. Bulan Julai ini juga. Keputusan Kabinet sudah pun dibuat,” katanya.

Mohamad turut mengakui bahawa langkah ini mungkin tidak disenangi oleh beberapa pihak.

“Walau apapun, kita tetap akan laksanakannya,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam sidang bilateral Mesyuarat AMM ke-58, Malaysia turut menegaskan komitmen memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara.

Langkah ini adalah bagi menjamin keselamatan pelayaran dan kedaulatan maritim. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI