SACHSENRING – Selepas melalui detik mengecewakan di Magny-Cours, Perancis minggu lalu, pelumba muda negara, Hakim Danish kembali dengan semangat baharu menjelang aksi Pusingan 5 Red Bull MotoGP Rookies Cup minggu ini.
Dalam aksi Kejuaraan Dunia JuniorGP di Perancis, Danish terjatuh ketika berada di kedudukan keenam akibat hujan lebat, namun insiden itu tidak mematahkan semangatnya dan menjadi motivasi untuk melakukan kebangkitan.
Pelumba berusia 16 tahun itu tampil positif menjelang penampilan sulungnya di Litar Sachsenring, Jerman kali ini yang terkenal dengan cabaran teknikal.
“Saya kekal positif biarpun ini kali pertama saya berlumba di Sachsenring. Saya telah membuat persiapan dengan mengkaji video serta perlumbaan-perlumbaan lepas.
“Harap saya dapat berikan yang terbaik dan mohon doa daripada semua,” kata pelumba kelahiran Terengganu tersebut.
Litar Sachsenring sepanjang 3.67 kilometer (km) itu dikenali dengan julukan ‘The Sachsenring Rollercoaster’ kerana memiliki 13 selekoh, 10 ke kiri dan tiga ke kanan, termasuk selekoh terakhir yang sering menjadi penentu kemenangan.
Ketika ini, Danish masih mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 148 mata, mendahului pencabar dari Sepanyol, Brian Uriarte yang mengumpul 116 mata.
Turut berada di Jerman ialah Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin yang memantau persiapan pasukan dari aspek teknikal dan strategi perlumbaan.
Menurut Zulfahmi, pihaknya meletakkan keyakinan penuh terhadap kemampuan Danish untuk mengekalkan prestasi konsisten walaupun berdepan laluan sukar minggu lalu.