NEW JERSEY – Bekas pemain antarabangsa Perancis, Frank Leboeuf menyifatkan Paris Saint-Germain (PSG) sebagai pilihan utama untuk bergelar juara Piala Dunia Kelab 2025 menjelang aksi final bertemu Chelsea di Stadium MetLife awal pagi Isnin ini.
Menurut Leboeuf, persembahan dipamerkan oleh skuad Le Parisiens sepanjang kejohanan berprestij itu cukup ‘gila’ sekali gus membuatkan beliau risau dengan apa yang bakal dialami oleh Chelsea sepanjang tempoh 90 minit aksi final nanti.
Leboeuf berkata, peluang untuk Chelsea menang sangat tipis dan apa yang mereka boleh harapkan adalah tidak dibolosi dengan jumlah jaringan besar seperti tiga atau empat gol.
“Saya cuba bersikap optimis dengan Chelsea tetapi apa yang kita telah saksikan sepanjang kejohanan ini, PSG memang berada dalam kelas berbeza.
“Secara jujur, saya agak risau jika Chelsea dimalukan kerana bukan mudah untuk mana-mana pasukan ketika bertemu PSG, tidak tewas dengan jaringan besar. Harap mereka dapat menjadikan aksi final nanti sebagai pengajaran,” katanya.
Sementara itu, Leboeuf yang pernah mewakili Chelsea ketika bergelar pemain profesional mengakui resepi kekuatan PSG ketika ini adalah pemain mereka langsung tidak mementingkan diri sendiri.
“PSG jelas pilihan utama kerana mereka kekalkan falsafah yang sama sepanjang musim. Mereka tidak ada pemain bertaraf bintang sebelum ini dengan semua pemain bekerja keras dan ikut arahan yang ditetapkan oleh jurulatih (Luis Enrique),” katanya. – AGENSI