KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa ASEAN menerima banyak permohonan daripada negara-negara luar untuk menjadi rakan sektoral dan dialog blok serantau itu.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 mengambil keputusan untuk meletakkan moratorium terhadap permohonan tersebut bagi mengelakkan suara ASEAN tenggelam dalam kalangan terlalu ramai rakan kerjasama.
“Banyak negara yang mahu dan sedang menunggu serta memohon untuk menjadi rakan sektoral dan rakan dialog. Tapi kita ada moratorium kerana dah terlampau banyak sangat.
“Kita ada 10 (negara anggota) atau nanti dengan Timor Leste ada 11 (negara anggota)… rakan dialog kita pun dah 11, nanti negara kita 11, dia pula ada 30?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Trilateral antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Luar Republik Turkiye, Hakan Fidan serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa ASEAN sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf status Turkiye daripada rakan sektoral kepada rakan dialog.
Perkara itu turut disahkan oleh Mohamad yang memuji peranan aktif yang dimainkan oleh Turkiye dalam kerjasama dengan ASEAN setakat ini. – KOSMO! ONLINE