“MESKIPUN pernah bekerja dalam dunia perbankan (unit pelaburan) lebih sedekad usai tamat pengajian pada 2005, namun minat saya bukan dalam bidang tersebut.
“Saya mencari satu kerjaya yang dapat memberikan ketenangan dan kepuasan. Maka dengan itu, saya ambil keputusan berhenti kerja bank pada tahun 2017.”
Itu ayat yang diungkapkan oleh Aisyah Mohamed, 42, saat memulakan perkongsian bersama K-Wanita mengenai kerjayanya sebelum ini.
Menurut anak jati Mersing, Johor berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi itu, biarpun mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam perbankan, namun kepuasan sebenar masih belum dirasainya.
Jelasnya, beberapa bulan selepas berhenti kerja, dia menghadiri satu sesi previu kerjaya berkaitan pewarisan harta Islam anjuran Wasiyyah Shoppe.
“Ketika itu, saya terkejut apabila diberitahu jumlah harta beku di Malaysia berjumlah RM70 bilion dan majoritinya adalah milik orang Islam.
“Perkara lain yang membuka mata saya pada sesi tersebut adalah berkenaan dokumen wasiat.
“Hakikatnya, dokumen ini bukanlah instrumen yang tepat untuk pemberian harta kepada waris bagi orang Islam.
“Ada kaedah lain dalam pembahagian harta yang masyarakat perlu ketahui.
“Dari situ, bermulalah titik tolak saya dalam bidang pewarisan harta Islam sehingga hari ini,” katanya.
Akuinya, ketika di sekolah, dia ada belajar ilmu faraid, tetapi tidak tahu aplikasi dan prosesnya sehinggalah dia berada dalam bidang tersebut.
“Saya lihat sendiri ketika bekerja di bank, apabila berlaku kematian kepada pelanggan, proses pengeluaran harta si mati menjadi sukar dan lambat.
“Ada proses undang-undang yang waris perlu lalui dan tidak ramai pemilik harta yang membuat persediaan awal untuk memudahkan urusan waris,” katanya.
Berkongsi mengenai kerjayanya sebagai perunding pewarisan harta Islam, Aisyah berkata, dia berjaya membuka sebuah agensi korporat sendiri yang bernaung di bawah Wasiyyah Shoppe Berhad.
Sebagai Pengarah Urusan Instaqlim Mawarith Sdn. Bhd., dia bertanggungjawab melahir, mendidik dan membina kumpulan perunding yang dapat memberi ilmu tepat bagi membantu masyarakat
Islam merancang pewarisan harta ketika hidup.
“Ini secara tidak langsung dapat membantu pelanggan menguruskan harta pusaka sekiranya berlaku kematian kelak.
“Kita mempunyai lebih 40 produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mengikut keperluan serta situasi pelanggan.
“Ia termasuklah pengurusan harta pusaka percuma selepas berlaku kematian, pembahagian harta, hibah, unit amanah, wasiat amal jariah dan banyak lagi,” ujarnya.
Ditanya mengenai cabaran dalam kerjaya diceburinya, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui, setiap pekerjaan di dunia ini tidak terlepas daripada halangan tertentu.
Kongsinya, antara cabarannya, ramai umat Islam tidak mempunyai kesedaran untuk mengambil tindakan segera dan merasakan tidak perlu membuat persediaan awal berkaitan wasiat.
“Selain itu, tindakan pemilik harta meletakkan tanggungjawab kepada waris untuk menguruskannya pada kemudian hari juga antara cabaran yang perlu dihadapi.
“Kesukaran akan berlaku kerana senarai harta, hutang serta penyimpanan dokumen harta biasanya berada dalam pengetahuan pemilik dan bukannya waris.
“Seperkara lagi adalah tentang proses pengurusan pusaka. Ramai beranggapan prosesnya mudah.
“Jika ada wasiat dan apabila berlaku kematian, waris boleh keluarkan terus harta pusaka si mati tanpa perlu melalui proses undang-undang secara sivil dan syariah.
“Ramai juga tidak tahu proses pentadbiran dan pembahagian harta pusaka memerlukan kepakaran serta pentadbir harta yang dipercayai,” tuturnya.
Sebelum menutup bicara, Aisyah memberitahu, syarikatnya optimis dapat melahirkan lebih ramai perunding yang komited membantu masyarakat Islam membuat perancangan pewarisan sama ada di negara ini atau di seluruh dunia.














