fbpx

ACAFTA pemacu baharu pertumbuhan serantau ASEAN-Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Janaan AI

KUALA LUMPUR – Usaha mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila ia menjadi tumpuan utama dalam Persidangan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri ASEAN dengan Kanada.

Ia sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, bermula 8 hingga 11 Julai 2025.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, ACAFTA dilihat sebagai pemacu penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan serantau, dengan potensi besar memperluaskan kerjasama berkait sektor-sektor baharu yang sedang berkembang pesat.

Katanya, ini termasuk perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau serta tenaga bersih.

Dalam kenyataan sama, para Menteri Luar ASEAN menyifatkan ACAFTA dan Strategi Indo-Pasifik Kanada sebagai gabungan kukuh yang mampu mendorong pertumbuhan mampan, penyelarasan peraturan serantau dan ketahanan ekonomi yang lebih inklusif.

“ACAFTA berpotensi meningkatkan kerjasama dalam sektor baharu yang penting seperti perdagangan digital, kecerdasan buatan, teknologi hijau dan tenaga bersih.

“Gabungan antara ACAFTA dan Strategi Indo-Pasifik Kanada dilihat sebagai pemacu penting kepada pertumbuhan mampan, penyelarasan peraturan dan daya tahan ekonomi yang inklusif,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, sokongan konsisten Kanada terhadap agenda kemampanan ASEAN turut dihargai, terutamanya dalam bidang perubahan iklim, inovasi dan pengurusan bencana.

Tambah kenyataan itu, ASEAN menyatakan minat untuk memperkukuh kerjasama menerusi Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC), di samping mempersiapkan Pelan Tindakan ASEAN-Kanada 2026–2030.

“Dalam membincangkan isu serantau dan antarabangsa, Malaysia menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza dan mengulangi keperluan mendesak untuk gencatan senjata.

“Malaysia menegaskan pentingnya mempertahankan sistem antarabangsa yang adil dan berasaskan peraturan, berpaksikan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia turut menggesa semua pihak untuk menunjukkan sikap berhemah dan menekankan keperluan pendekatan seimbang dan konstruktif demi mencapai keamanan berkekalan di Timur Tengah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI