fbpx

Dua lelaki hilang ditemui maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LUMUT – Dua lelaki yang masing-masing dilaporkan hilang pada 27 Jun lalu dan semalam, ditemui maut di Ayer Tawar di Sitiawan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya dari Balai Polis Ayer Tawar semalam menerima dua laporan polis berkenaan kehilangan kedua-dua mangsa.

Beliau berkata, mangsa pertama iaitu seorang lelaki berbangsa India tidak pulang ke rumah setelah keluar dari kediamannya semalam kira-kira pukul 6.20 petang.

“Mangsa yang kedua juga seorang lelaki India, disyaki tidak pulang ke rumah dari tarikh 27 Jun 2025.

“Pada 9 Julai 2025 kira-kira pukul 9.39 pagi, pihak polis dari Balai Polis Ayer Tawar telah menerima maklumat awam berkaitan penemuan mangsa pertama di dalam kebun kelapa sawit di Jalan Taman Sri Perak 2, Ayer Tawar dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya di sini, hari ini.

Hasbullah berkata, mangsa kedua pula ditemui di sebuah rumah kosong di Lorong 1, Taman Biru, Ayer Tawar, hari ini kira-kira pukul 8.30 pagi hasil maklumat awam.

Beliau berkata, mangsa ditemui dalam keadaan mayat yang telah reput.

“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian yang berlaku boleh menyalurkan maklumat ke Balai Polis Ayer Tawar di talian 05-6722222.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 dan hotline WhatsApp 017-6828005,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI