fbpx
Masyarakat perlu menghormati pilihan individu termasuk makan seorang diri di kafe tanpa menghakimi. Gambar hiasan

Wanita solo di kafe bukan kesunyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Semakin ramai wanita kini memilih untuk melakukan aktiviti harian seperti makan di kafe, beriadah atau berjalan-jalan secara solo.

Bukan sahaja golongan bujang, malah wanita yang sudah memiliki pasangan hidup, mahupun cahaya mata juga adakala selesa dan sangat menikmati masa-masa tertentu secara sendirian.

Ia bukan petanda antisosial atau kesunyian, tetapi cuma memerlukan masa tertentu untuk ketenangan diri sendiri.

Menikmati setiap hirupan kopi, menonton wayang dengan penuh khusyuk atau berjoging di taman secara solo umpama ‘rawatan’ emosi terbaik kelompok ini.

Namun, masih ada segelintir masyarakat yang bersimpati terhadap golongan berkenaan dan menyifatkan mereka sebagai seorang yang kesunyian atau bermasalah.

Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, wanita yang gemar melakukan aktiviti secara sendirian menunjukkan mereka selesa dengan diri sendiri dan tidak bergantung kepada kehadiran orang lain untuk menikmati hidup.

Katanya, mereka memiliki keupayaan dalam menetapkan sempadan iaitu mampu berkata tidak kepada tekanan sosial dan membuat pilihan mengikut kehendak diri sendiri.

“Ia adalah ‘self-care’ dan refleksi diri yang mana bersendirian memberi ruang untuk berfikir, berehat, dan menilai kehidupan secara lebih mendalam.

“Mereka juga sedang menikmati ‘me-time’, yang boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental, seperti kajian mengenai ‘solitude’ dan ‘well-being’ (Long & Averill, 2003),” katanya.

Menurut beliau, golongan ini juga mampu mengurus tekanan dalaman dan menikmati pengalaman mengikut rentaknya sendiri.

“Kecenderungan untuk menikmati aktiviti sendirian sering dikaitkan dengan kematangan emosi dan keyakinan diri.

“Mereka tidak bergantung kepada penerimaan sosial untuk menentukan nilai diri dan tahu membezakan antara kesunyian dan solitude (menyendiri) ,” jelasnya.

Sebaliknya Fauziah berkata, perasaan malu atau segan makan seorang diri di kafe atau restoran boleh berpunca daripada masalah tekanan sosial atau keyakinan diri.

“Mereka takut dinilai, diperhatikan atau dianggap ‘kasihan’.

“Internalisasi norma masyarakat juga antara rasa malu sendirian di tempat awam. Ada yang terlalu biasa dengan anggapan bahawa ‘bersendirian itu pelik’, lalu malu untuk mencuba,” ujarnya.

Tambah beliau, ia juga berpunca daripada stereotaip dan norma sosial tradisional yang mana dalam kebanyakan budaya, wanita dikaitkan dengan sifat lemah-lembut, kebergantungan kepada orang lain.

“Maka, apabila seorang wanita dilihat bersendirian, ia ditafsir sunyi atau murung.

“Terdapat tanggapan bahawa wanita sepatutnya ditemani, sama ada oleh keluarga, rakan, atau pasangan untuk menunjukkan ‘kesejahteraan sosial,” tambahnya.

Oleh itu jelasnya, masyarakat perlu menghormati pilihan individu tanpa menghakimi.

Katanya, persepsi masyarakat juga perlu berubah agar lebih menyokong pelbagai bentuk ekspresi diri.

“Masyarakat perlu terima bahawa wanita tidak perlu sentiasa ‘terikat’ dengan peranan sosial tradisional untuk bahagia atau berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN