SHAH ALAM – Impak cuaca panas dan kering kepada Selangor ketika ini masih dalam keadaan terkawal dengan jangkaan Kelembapan dan hujan di dalam lingkungan purata.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara itu diperoleh menerusi pembentangan Tinjauan Cuaca Monsun Barat 2025 oleh Pusat Iklim Nasional pada 22 Mei lalu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)bagi melaksanakan pemantauan sistematik, ramalan terperinci sertakomunikasi dan kolaborasi dengan jabatan dan agensi negeri.
“Antara usaha kerajaan negeri adalah dari segi pengurusan sumber air dan infrastruktur, menjalankan operasi pembenihan awan, pemantauan paras empangan secara berterusan olehLembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan kawalan kebakaran hutan tanah gambut dan pemuliharaan sumber,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Yi Wei (PH – Kampung Tunku) berhubung impak fenomena cuaca panas dan gelombang haba.
Jelas Jamaliah, Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor (SCAC) kini dalam peringkat membangunkan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Peringkat Tempatan yang melibatkan
12 pihak berkuasa tempatan dan dasar atau Program Kecekapan Tenaga Bangunan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
“Kerjasama turut dibangunkan dengan institusi penyelidikan dan pihak swasta bagi meneroka kaedah dan sistem pemantauan yang lebih inovatif.
“Ini meliputi kajian tentang risiko isu gelombang haba dan musim kering akibat perubahan iklim serta mengenalpasti intervensi yang bersesuaian, termasuk keperluan pembangunan dasar atau garis panduan khusus bagi menangani isu ini,” katanya. – KOSMO!ONLINE