SERAMAI 34 pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi menyertai KMT 2025 yang diadakan di Gunung Stong, Kelantan baru-baru ini yang turut melibatkan aktiviti membaca al-Quran beramai-ramai sehingga khatam.

Khatam al-Quran di puncak Gunung Stong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA kabus tebal menyelimuti puncak Gunung Stong di Kelantan, angin dingin tiba-tiba menyapa wajah-wajah muda yang keletihan. Tidak lama kemudian, satu suara perlahan melantunkan ayat suci al-Quran, sekali gus menjadi penawar hati dan pendorong semangat kepada mereka sepanjang pendakian.

Dalam kehijauan hutan pada ketinggian 1,422 meter dari paras laut, seramai 34 pelajar tingkatan empat daripada Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Nipah, Bachok telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran secara berkumpulan dengan suasana penuh syahdu dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bacaan al-Quran, namun satu perjalanan rohani yang menyatu dengan keindahan alam ciptaan Tuhan. Program hafazan tersebut merupakan sebahagian daripada Kem Mukhayyam Tarbawi (KMT) 2025 iaitu satu inisiatif tahunan yang diadakan selama tiga hari pada Mei lalu.

Program itu bertujuan mengasah ketahanan fizikal, spiritual dan emosi pelajar melalui pendekatan luar bilik darjah.

Dengan membaca al-Quran berdasarkan hafazan di dada atau al-Quran digital di telefon bimbit, para peserta menghabiskan bacaan penuh kitab suci itu sepanjang tiga hari program tersebut.

Menerusi satu video yang dikongsikan, para pelajar dilihat membaca al-Quran beramai-ramai dan ada antara mereka bertemankan lampu suluh pada dahi ketika dalam kepekatan malam.

Salah seorang peserta, Azfar Arfan Azman, 16, yang sudah khatam hafazan al-Quran berkata, dia berasa tenang selepas berpeluang mengikuti program tersebut di kawasan gunung.

“Rasa tenang apabila dapat khatam al-Quran dengan bertemankan alam semula jadi seperti air terjun dan hutan.

“Peluang mendaki gunung bersama rakan-rakan dan guider yang ramah menjadi satu pengalaman menyeronokkan serta sukar dilupakan,” kongsinya kepada K-Remaja.

Para peserta berpeluang mandi-manda di Telaga Tujuh Puteri.

Azfar Arfan juga memaklumkan, program tersebut bukan hanya mendekatkan dirinya dengan Allah SWT, malah menjadi medan dia menguji stamina diri.

Berbeza pula dengan salah seorang peserta program itu, ‘Aliyy Ab. Rahman al Qari, 16, yang memaklumkan bahawa KMT 2025 telah membuka peluang kepadanya untuk melihat alam sekitar sambil menghargai kebesaran Allah SWT.

“Selain misi utama berkhatam al-Quran, program ini menjadikan kami lebih berdisiplin apabila melakukan solat di awal waktu.

“Program ini juga berjaya mengeratkan silaturahim bersama rakan-rakan lain,” katanya yang bersyukur terpilih menjadi salah seorang peserta program itu.
Khatam al-Quran di atas gunung bukan sahaja simbolik, malah turut memberi kelebihan fizikal, rohani dan emosi yang mendalam.

Mendaki gunung memerlukan kesabaran, kekuatan dan keikhlasan, sama seperti menghafaz atau memahami al-Quran.

Justeru, apabila pelajar menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran di puncak gunung, ia melambangkan usaha rohani dan fizikal.

Program itu menjadi satu bentuk ibadah yang lebih bermakna dan menyentuh jiwa.

Berkongsi tentang matlamat penganjuran KMT 2025, pengarah program merangkap Penolong Kanan Kokurikulum Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Mohd. Aris Farizal Abdul Halim berkata, ia merupakan satu bentuk tarbiah rohani dan jasmani kepada pelajar supaya mereka lebih kuat, cergas, aktif serta berdisiplin.

“KMT merupakan program tahunan kami sejak 2017.

“Program ini bukan saja menguji fizikal dan mental, namun yang lebih utama adalah mengukuhkan ukhuwah serta ‘menjentik’ rasa kagum terhadap ciptaan Allah SWT.

“Selain menjadikan para pelajar lebih kuat, penganjuran program seperti ini membolehkan mereka lebih dekat dengan Pencipta,” katanya.

Pemilihan Gunung Stong sebagai lokasi program kerana kawasan itu menyediakan tapak perkhemahan khas dan sesuai untuk para pelajar.

Selain itu, gabungan udara segar, bunyi alam semula jadi dan pemandangan menakjubkan menjadikan Gunung Stong sebagai lokasi refleksi diri untuk ketenangan rohani.

Mohd. Aris Farizal memaklumkan, antara pengisian menarik sepanjang program adalah aktiviti perkhemahan di Kem Baha, khatam al-Quran 30 juzuk secara berkumpulan, menikmati panorama matahari terbit dari viewpoint Gunung Stong serta mandi-manda di Telaga Tujuh Puteri.

Kemuncak program adalah pendakian mencabar selama hampir lima jam ke puncak Gunung Stong yang menyajikan pemandangan menakjubkan sebagai ganjaran atas usaha dan ketabahan peserta.

“Pendekatan pihak sekolah dalam penganjuran program ini adalah untuk mendidik belia supaya tidak berputus asa dan sentiasa bekerjasama dalam kumpulan.

“Program ini juga dapat melatih disiplin dalam diri peserta seperti sentiasa solat di awal waktu, menguji peserta dari aspek pengurusan, selain berpeluang belajar memasak,” katanya.

Mengakhiri bicara, Mohd. Aris Farizal memberitahu, dia berharap supaya semua peserta program membawa pulang nilai agama dan sahsiah daripada program tersebut.

“Nilai paling penting yang saya harap pelajar bawa pulang adalah agama dan sahsiah.

“Dari segi agama, kita hendak melahirkan pelajar rabbani iaitu mereka yang benar-benar kenal Allah SWT melalui tanda-tanda ciptaan-Nya.

“Apabila melihat keindahan gunung, kabus dan alam sekeliling, mereka sedar bahawa semua itu datang daripada Tuhan.

“Dari sudut sahsiah pula, kita mahu pelajar yang kuat dari segi fizikal dan mental. Mereka kena belajar untuk hadapi cabaran hidup, bukannya lari.

“Menerusi program sebegini, kami mahu melatih mereka untuk berfikir secara matang, selesaikan masalah dan terus bermotivasi walaupun diuji seteruk mana sekalipun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN