ALOR SETAR – Hujan renyai mengiringi jenazah pasangan suami isteri dan empat anak yang lemas di Sungai Korok, Jitra ketika dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira pukul 9.25 malam tadi.
Mereka ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Lima van jenazah digunakan untuk membawa semua jenazah ke Masjid Al Taqwa, Jerlun untuk disembahyangkan.
Kesemua jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Ayer Hitam malam ini.
Terdahulu, proses bedah siasat ke atas kesemua jenazah selesai kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Jenazah seterusnya dimandikan, dikafan dan disembahyangkan di Jabatan Forensik HSB.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan enam beranak yang dikhuatiri hilang selepas pulang dari rumah ahli keluarga mereka di Taman Sri Aman, Jitra sejak Sabtu lalu ditemukan lemas di dalam kereta di Sungai Korok, Jitra pada pagi ini. – KOSMO! ONLINE