KUALA NERUS – Seorang pengusaha kedai makan di Kampung Tok Jiring di sini mengambil inisiatif memperkenalkan semula menu murah ala Rahmah sejak tiga minggu lalu bagi membantu meringankan kos sara hidup pelanggannya.
Sabarudin Ramli, 42, yang mengusahakan Warung Juedin berkata, sepinggan hidangan yang mengandungi nasi putih, sejenis lauk serta sayur ditawarkan dengan harga serendah RM5.
“Saya dan isteri, Ajuma’ Arasikim Din, 41, juga menawarkan air sirap dan teh o ais pada harga hanya 50 sen segelas.
“Setiap hari kami dengan dibantu empat pekerja menyediakan kira-kira 30 jenis lauk-pauk seperti ayam goreng berempah, ikan tiga rasa, daging goreng dan kerabu pegaga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tok Jiring di sini semalam.
Sabarudin berkata, dia tergerak untuk menawarkan semula menu murah ala Rahmah sejak tiga minggu lalu setelah mendengar banyak keluhan pelanggan-pelanggannya terutama mereka berkeluarga besar tentang kenaikan kos sara hidup.
Katanya, situasi ekonomi pelanggannya difahami kerana sebelum membuka kedai makan pada kira-kira enam tahun lalu, dia dan isteri bermula dengan berniaga nasi bajet RM2.50 sebungkus sejak 2014.
“Walaupun saya turut menghadapi kenaikan kos bahan mentah, keuntungan tetap ada biarpun dalam marginnya yang lebih kecil.
“Sambutan diterima setakat ini agak menggalakkan dengan lebih 300 pelanggan berkunjung ke kedai makan saya setiap hari beroperasi iaitu Ahad hingga Khamis,” katanya.
Sabarudin berkata, kebiasaannya kesemua lauk-pauk di kedai makannya akan kehabisan sebelum pukul 1.30 tengah hari.
Sementara itu, seorang pelanggan, Muhammad Asyraf Haniff Zaki, 35, berkata, inisiatif diambil Sabarudin harus menjadi teladan peniaga lain.
“Saya dan isteri makan nasi bersama dua ketul ayam percik, daging goreng, ikan patin masak tempoyak dan ulam-ulaman. Selain itu, bungkus dua ketul ayam gulai dan udang untuk anak-anak di rumah.
“Kami dikenakan caj RM30 sahaja. Kalau di kedai makan lain, biasanya lebih RM50,” katanya.
Inisiatif menu rahmah pernah diperkenalkan kerajaan sebelum ini iaitu makanan dijual pada harga tidak melebihi RM5 di restoran atau gerai pengusaha yang menyertainya.
Ia merupakan hidangan sajian terdiri daripada gizi seimbang seperti karbohidrat, protein dan serat. Objektif inisiatif itu ialah untuk mengurangkan bebas kos sara hidup melibatkan makanan yang siap dimasak.














