fbpx
Emas yang terhasil daripada e-sisa selepas melalui proses pengekstrakan.

Inovasi hijau ubah e-sisa kepada emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, penggunaan barangan elektronik semakin meningkat, sekali gus membawa kepada pertambahan sisa elektronik atau e-sisa.

Hal ini menjadi cabaran global yang semakin meruncing apabila pada tahun 2022 sahaja sebanyak lebih 62 juta tan e-sisa telah dihasilkan di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, hanya sekitar 22 peratus berjaya dikitar semula secara rasmi, manakala selebihnya berakhir di tapak pelupusan atau dikendalikan secara tidak selamat sehingga melepaskan toksin berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Namun kini, sekumpulan saintis daripada Universiti Flinders, Australia telah menemui kaedah baharu yang mesra alam untuk mengekstrak emas tulen daripada sisa elektronik dan bijih tanpa menggunakan bahan kimia berbahaya seperti merkuri atau sianida.

Menurut ketua penyelidik di Universiti Flinders, Prof. Justin Chalker, kaedah itu menggabungkan air masin, cahaya ultra ungu (UV) dan polimer boleh dikitar semula.

“Kaedah ini merupakan salah satu penyelesaian alternatif yang lebih selamat serta menjanjikan masa depan lestari bagi industri perlombongan dan kitar semula logam berharga.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan kaedah pengekstrakan emas yang lebih selamat dan lestari, bukan sahaja untuk perlombongan tradisional, malah mengurus lambakan sisa elektronik secara mampan,” katanya dalam satu temu bual bersama portal, Scitech Daily baru-baru ini.

Tambahnya, secara tradisional, pengekstrakan emas melibatkan penggunaan bahan kimia toksik.

Misalnya, merkuri digunakan dalam perlombongan emas skala kecil untuk mengikat zarah emas menjadi ‘amalgam’.

Apabila dipanaskan, merkuri akan tersejat dan meninggalkan emas, namun tetap melepaskan wap toksik yang membahayakan kesihatan pelombong dan komuniti sekitar.

Kajian menunjukkan sehingga 33 peratus pelombong artisanal mengalami keracunan merkuri pada tahap sederhana.

Tambahan pula, sektor itu menyumbang kepada 37 peratus pencemaran merkuri global, melebihi industri-industri lain.

Kongsinya, penemuan itu unik disebabkan penggunaan asid trichloroisocyanuric iaitu sejenis bahan murah dan tidak bertoksik yang biasanya digunakan untuk membasmi kuman dalam kolam renang.

“Apabila diaktifkan dengan air masin, bahan ini mampu melarutkan emas daripada bijih dan komponen elektronik.

“Seterusnya, emas telah larut ini akan diikat oleh polimer kaya sulfur yang dibangunkan oleh pasukan Flinders,” ujarnya.

Sekumpulan saintis menemui kaedah baharu mengekstrak emas daripada sisa elektronik.

Katanya lagi, polimer itu dicipta menggunakan cahaya UV iaitu satu pendekatan hijau yang tidak memerlukan haba atau pelarut toksik.

Salah seorang penulis utama kajian itu, Dr. Thomas Nicholls berkata, pihaknya telah membangunkan polimer penyerap emas melalui tindak balas kimia yang dimulakan dengan cahaya.

“Ia bukan sahaja berkesan, malah boleh dikitar semula selepas emas diekstrak.

“Emas kemudian boleh dikeluarkan semula apabila polimer ini ‘dibuka’ menjadi bentuk asalnya.

“Ia membolehkan polimer tersebut digunakan semula untuk proses seterusnya. Hasilnya, sistem kitaran tertutup yang mengurangkan pembaziran, kos dan risiko toksik,” kongsinya.

Kini, pasukan penyelidik sedang berusaha bekerjasama dengan pemain industri, termasuk syarikat perlombongan dan kitar semula untuk menguji teknologi itu pada skala lebih besar.

Kerjasama dengan rakan-rakan industri dan organisasi alam sekitar mampu menterjemahkan penemuan makmal kepada aplikasi sebenar.

Pada masa sama, ia menjadi satu langkah penting ke arah penyelesaian dunia nyata bagi membangunkan satu kaedah pengurusan e-sisa yang lebih lestari.

Teknologi itu juga telah diuji ke atas pelbagai jenis bahan buangan termasuk papan litar komputer, kad RAM dan skrap logam campuran.

Hasil kajian menunjukkan keberkesanan tinggi, walaupun dalam campuran kompleks yang biasanya sukar diproses.

Penyelidik pascakedoktoran di Universiti Flinders, Dr. Max Mann memaklumkan bahawa pihaknya telah ‘menyelam’ ke dalam timbunan e-sisa, sebelum keluar bersama seketul emas.

Ia bukan sekadar metafora, malah bukti potensi sains untuk mengubah krisis kepada peluang iaitu menukar sisa menjadi harta berharga.

“Peningkatan permintaan emas dalam sektor elektronik, perubatan dan aeroangkasa telah menyebabkan kaedah pengekstrakan yang lebih bersih serta mampan menjadi semakin penting.

“Tambahan pula, sumber emas baharu semakin sukar ditemui, sekali gus menjadikan pemulihan daripada sumber sedia ada seperti e-sisa lebih bernilai,” katanya.

Salah seorang penyelidik projek, Dr. Lynn Lisboa menyimpulkan bahawa kaedah pengekstrakan mesra alam itu bukan sahaja boleh digunakan untuk emas, malah pada hasil perlombongan lain yang digunakan dalam barangan elektronik.

“Dengan permintaan emas yang semakin meningkat, kita perlu kaedah selamat dan boleh disesuaikan dengan pelbagai sumber semula jadi sehingga ke sisa elektronik.

“Teknologi inovatif ini bukan sahaja membuka jalan kepada masa depan tanpa sianida dan merkuri, sebaliknya memperkukuhkan prinsip ekonomi pusingan yang menghargai bahan buangan,” ujarnya

Katanya lagi, dalam dunia yang semakin dipenuhi sisa elektronik, penemuan itu memberi harapan bahawa sains boleh mengubah sampah menjadi ‘harta’ bernilai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN