KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi di sini cedera selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada pukul 1.40 pagi.
Katanya, mangsa berusia awal 20-an menerima rawatan di Zon Merah HTAN dan laporan x-tray menunjukkan pelajar tersebut mengalami kecederaan patah tulang pinggul.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius. Mangsa stabil dan masih menerima rawatan. Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada saksi, mangsa naik ke tingkat empat tanpa pengetahuan sesiapa.
“Saksi dan rakan-rakan mangsa kemudian menghubungi pihak pengurusan bagi memaklumkan kejadian itu. Pelajar itu dikejarkan ke hospital dengan ambulans. Ketika kejadian mangsa dipercayai mendengar bisikan halusinasi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Muhamad Mustafah berkata, hasil siasatan lanjut, pihaknya mendapati mangsa pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental dan pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. – KOSMO! ONLINE