Pertandingan dikir barat menjadi kemuncak acara program.

FESWA’25, enam universiti angkat martabat dikir barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai warisan kebudayaan dan salah satunya ialah dikir barat.

Dikir barat merupakan satu seni persembahan tradisional penting dalam budaya masyarakat Melayu khususnya di negeri Kelantan.

Malah, ia bukan sahaja satu bentuk hiburan, tetapi juga menjadi medium penyampaian mesej sosial, pendidikan dan kritikan masyarakat secara kreatif dan tersirat.

Oleh yang demikian, dikir barat harus senantiasa diperkasakan dalam memastikan warisan negara ini terus terpelihara.

Untuk itu, Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan komitmennya dalam memperkasa seni warisan negara tersebut dengan menganjurkan Festival Warisan Dikir Barat 2025 (FESWA’25) yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di USM, Pulau Pinang.

Festival yang berbentuk pertandingan ini dianjurkan oleh Himpunan Anak-anak Kelantan USM (HAAKUSM).

Program tersebut menghimpunkan mahasiswa daripada enam universiti awam iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan USM sebagai tuan rumah.

Ternyata festival ini menjadi satu platform kesenian yang amat sesuai untuk mengangkat martabat dikir barat dan wayang kulit sebagai warisan seni bangsa yang tidak ternilai.

Bertemakan Semarakkan Warisan Kita, FESWA’25 telah dirasmikan oleh Pemegang Amanah Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin), Datuk Abdullah Yakub.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Kebudayaan, Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Murshid Md Hussain mewakili Pengarah PPP BHEPA.

Abdullah dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya dikir barat dipelihara dan disemarakkan dalam kalangan generasi muda.

Program seperti ini mampu mendekatkan diri generasi muda dengan seni tradisi bangsa.

Beliau turut menyentuh pengalaman peribadinya dalam usaha melakukan pembaharuan (islah) terhadap bentuk dan kandungan persembahan dikir barat sewaktu menerima amanah daripada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz.

“Dikir barat suatu masa dahulu sering dikaitkan dengan seni kata yang tidak membina dan bersifat kontroversi, namun kini telah melalui reformasi agar menjadi medium yang mendidik serta menyampaikan mesej bermanfaat kepada masyarakat.

“Melalui festival sebegini juga, nilai-nilai seni tidak hanya terpelihara, malah terus berkembang sebagai elemen penting dalam pembinaan jati diri mahasiswa dan pembangunan masyarakat yang lebih harmoni dan berbudaya,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang penganjuran FESWA’25, Murshid berkata, matlamat utama festival tersebut untuk menyemarakkan rasa apresiasi dalam kalangan mahasiswa terhadap seni warisan seperti dikir barat dan wayang kulit, sekali gus memupuk minat dan kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan menjaga budaya bangsa.

“Ini selaras dengan aspirasi ‘Balanced’ agenda HEBAT USM, khususnya dalam aspek Apresiasi Seni yang menekankan kepentingan nilai budaya dalam pembangunan pelajar yang holistik.

“Selain itu, festival ini turut memberi penekanan kepada aspek etika dan profesionalisme kerja dalam kalangan mahasiswa, dengan memberi ruang kepada mereka untuk mengurus dan melaksanakan program berskala besar yang melibatkan kerjasama dengan universiti luar serta agensi luar kampus,” jelasnya.

Melalui penyertaan aktif seramai 94 orang sekretariat, FESWA’25 menjadi medan latihan terbaik untuk mahasiswa mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan acara.

Pengarah Projek FESWA’25, Nik Nazmi Amin Nik Aziz dalam ucapannya berkata, ferstival pada kali ini membawa misi penting dalam memastikan seni ini terus hidup dan dihargai generasi muda dalam arus pemodenan.

“Ia bukan sekadar satu festival seni, malah ia merupakan ruang untuk memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya, memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan agensi kebudayaan, serta memperlihatkan kesungguhan mahasiswa dalam melestarikan warisan bangsa,” katanya.

Persembahan daripada setiap pasukan bukan sahaja dinilai dari segi kreativiti dan penguasaan seni, tetapi juga dari aspek mesej, keselarasan dan kesantunan bahasa.

Dalam pertandingan dikir barat yang menjadi kemuncak acara, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menampilkan persembahan yang bertenaga dan memukau, sekali gus dinobatkan sebagai johan keseluruhan FESWA’25.

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala USM pula meraih tempat ketiga, mempertahankan maruah selaku tuan rumah festival.

Dengan penganjuran berterusan seperti FESWA’25, USM dan rakan universiti lain berjaya membuktikan bahawa seni warisan seperti dikir barat bukan hanya tinggalan sejarah, tetapi adalah wadah penting dalam memperkukuhkan identiti bangsa yang wajar dipelihara dan diperkasakan untuk generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN