TOKYO – Kerajaan Jepun mengeluarkan amaran jangkaan gempa bumi lebih kuat di perairan barat daya pulau-pulau utamanya, namun mengingatkan orang ramai agar tidak mempercayai ramalan bencana berskala mega yang tular di media sosial, lapor saluran berita CNN kelmarin.
Pihak berkuasa Jepun Jumaat lepas memindahkan sebilangan penduduk dari sebuah pulau terpencil berhampiran lokasi pusat gempa bumi bermagnitud 5.5 yang melanda hujung selatan Pulau Kyushu.
Gegaran yang melanda Khamis lalu cukup kuat sehingga penduduk tidak dapat berdiri, menjadikannya antara lebih 1,000 gempa bumi yang direkodkan di gugusan pulau wilayah Kagoshima dalam tempoh dua minggu.
Selain itu, Gunung Shinmoedake turut meletus Khamis lalu dengan mengeluarkan letupan kuat dan menghamburkan awan abu tebal, menjadikannya salah satu letusan paling kuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran tentang batuan vulkanik dan aliran bergerak pantas dalam jarak kira-kira 3 kilometer dari gunung berapi itu.
Insiden-insiden itu menguatkan lagi khabar angin dan panik yang tercetus susulan ramalan sebuah komik manga bahawa bencana besar melanda Jepun kelmarin.
Manga bertajuk Watashi ga Mita Mirai, Kanzenban (Masa Hadapan yang Saya Lihat, Edisi Lengkap) itu merupakan buku paling laris yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1999, manakala ramalannya dibuat berdasarkan gerak hati pelukis, Ryo Tatsuki.
Dalam edisi terbaharu, muka depan komik itu tertera petikan: “Bencana sebenar akan datang pada Julai 2025”.
Video dan siaran media sosial yang menyebarkan khabar angin itu telah mendapat tarikan meluas sekali gus mencetuskan ketakutan dalam kalangan pelancong, khususnya dari Hong Kong.
Kesan daripada penyebaran khabar angin itu, ketibaan pelancong dari pulau tersebut ke Jepun merosot sebanyak 11 peratus pada Mei lalu berbanding tempoh sama tahun lalu, demikian menurut statistik rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini.
Syarikat penerbangan Hong Kong Airlines juga membatalkan penerbangan ke Kagoshima dan Kumamoto pada Julai dan Ogos ini, dengan memetik permintaan lembab untuk pelancongan di negara itu.
“Berdasarkan pengetahuan saintifik semasa, agak mustahil untuk meramalkan secara tepat bila, di mana atau sejauh mana kekuatan sesuatu gempa bumi akan berlaku.
“Kami meminta orang ramai agar meletakkan pemahaman mereka pada bukti saintifik,” kata Pengarah Bahagian Pemantauan Gempa Bumi dan Tsunami Agensi Meteorologi Jepun, Ayataka Ebita.
Seorang profesor dari Jabatan Bumi dan Sains Planet di Universiti California Berkeley, Chan Lung-sang berkata, ramalan manga itu tidak dibuat berdasarkan sains dan mustahil untuk meramalkan masa tepat gempa bumi.
“Saya fikir ia hanya fantasi atau rekaan. Kami tidak akan dapat membuat ramalan seperti itu sama sekali. Sains masih belum ada.
“Pihak berkuasa Jepun membuat ramalan dengan menghitung purata statistik tempoh pulangan gempa bumi dalam jangka masa panjang,” kata Lung-sang.
Sementara itu, Tatsuki dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penerbitnya berkata: “Saya bukan peramal.”
Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak terlalu terpengaruh dengan firasatnya dan bertindak berdasarkan pendapat pakar. – AGENSI