fbpx
HARITH bersama empat busana yang dihasilkannya bagi koleksi The Nutcracker.

Maksimalisme dengan teknik jahitan quilting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FESYEN bagaikan cerita dongeng yang dihidupkan, menyulam magis dan kisah ke dalam setiap helaian rekaan yang memikat pandangan dan hati.

Begitulah konsep yang dibawa oleh Harith Huzairi Subri dalam koleksi bertemakan The Nutcracker, apabila elemen cerita rakyat diolah dengan sentuhan kontemporari.

The Nutcracker merupakan dongeng klasik asal Russia tentang Clara dan patung kacang yang hidup, membawa dia ke dunia fantasi penuh keajaiban, keberanian dan kasih sayang keluarga.

Tema tersebut menjadi inspirasi utama dalam koleksi fesyen pemuda berusia 23 tahun itu bersempena projek akhir tahun Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Reka Fesyen di UiTM Shah Alam.

“Saya pilih cerita The Nutcracker sebab ada unsur optimisme, kasih kepada diri sendiri dan ikatan keluarga. Bagi saya, tak kira macam mana keadaan kita, keluarga tetap keluarga.

“Warna merah jambu terang melambangkan cinta yang membara, manakala merah marun pula diambil daripada corak kertas dinding Rusia yang muncul dalam filem asal,” katanya kepada CitaRasa.

Dari segi visual, rekaan Harith diterjemahkan terus daripada elemen-elemen penting dalam filem The Nutcracker iaitu kunci dan tikus, kotak muzik, Clara, askar patung kacang, robot Mother Ginger dan istana empat alam yang menjadi asas jalan cerita koleksinya.

Potongan dan corak pakaian diolah daripada elemen elemen tersebut termasuk reka bentuk dalaman istana serta motif kertas dinding Russia yang diterjemah secara kreatif ke dalam fabrik.

Salah satu rekaan menampilkan seluar berlapis lapis sebagai simbol kepada struktur kekeluargaan yang kompleks iaitu tidak selalu terlihat tetapi menjadi asas sokongan.

GABUNGAN warna merah jambu dan corak kertas dinding Russia berwarna merah marun menyerlahkan koleksi yang diinspirasikan daripada kisah dongeng The Nutcracker.

Pemilihan fabrik seperti tafeta dan broked dengan lapisan span memberi bentuk dan tekstur dramatik, menyerlahkan konsep maksimalisme (lawan minimalis) yang menjadi identiti koleksi ini.

Rekaan menampilkan warna berani dan potongan bersaiz besar, dihiasi perincian rumit serta gaya ekspresif yang menekankan kebebasan dalam menzahirkan diri.

Koleksi pemuda dari Rawang itu juga menggabungkan unsur budaya dan moden dalam satu jalan cerita visual yang seimbang.

Mengulas tentang teknik, Harith berkata, kaedah quilting digunakan sebagai asas utama keempat-empat rekaannya.

“Saya gunakan kaedah quilting iaitu jahitan kemas yang membentuk tekstur timbul, terutamanya pada seluar berwarna merah jambu yang dijahit dengan penuh ketelitian.

“Setiap jahitan tu saya buat dengan penuh perhatian, sebab saya nak pastikan mesej dan emosi tu sampai, walaupun pada bahagian yang kecil,” katanya.

THE Nutcracker merupakan dongeng klasik asal Russia tentang Clara dan patung kacang yang hidup.

Elemen berjumbai dan belahan berjumbai turut dimasukkan, khususnya pada bahagian seluar untuk menyelitkan bulu-bulu sebagai lapisan tambahan.

Teknik ini bukan sahaja menambah kesan visual yang dramatik, malah menyumbang kepada tema maksimalisme yang menjadi tunjang koleksi.

Antara cabaran terbesar ialah saiz pakaian yang besar dan fabrik tebal yang memerlukan perancangan struktur dan teknik kemasan teliti.

Walaupun prosesnya rumit dan padat, Harith berjaya menyiapkan keseluruhan empat rekaan dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

Menurut Harith, dia lebih cenderung konsep pakaian sebagai seni, iaitu busana bukan sekadar untuk dipakai tetapi menjadi medium ekspresi yang membawa makna tersendiri.

“Saya memang minat konsep pakaian sebagai seni. Pereka fesyen dari Belgium, Walter Van Beirendonck, merupakan inspirasi saya dalam bidang fesyen. Identiti rekaan beliau ialah penggunaan warna-warna yang berani dan bersifat artistik. Saya memang meminati dia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN