fbpx
PENGUNJUNG juga bebas memetik dan menikmati buah-buahan.

Glamping dalam dusun bertaman tema air mini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAYANGKAN tidur di bawah langit berbintang, ditemani bunyi unggas malam dan desiran angin yang menyapa lembut dari celah-celah pokok durian dan rambutan.

Itulah suasana yang menanti pengunjung di D Bayan Hill Glamping, Melaka, sebuah lokasi percutian berkonsepkan glamping yang terletak dalam dusun buah-buahan.

D Bayan Hill Glamping lahir daripada idea untuk menyediakan ruang percutian ala glamping yang lebih mampu milik, khususnya kepada golongan B40.

Menurut pemilik D Bayan Hill Glamping, Shafie Bustan, keunikan lokasi tersebut bukan hanya terletak pada suasana dusunnya, malah peraturannya juga lebih santai.

“Pengunjung bebas membawa makanan sendiri, merancang aktiviti keluarga dan tidak terikat kepada kod pakaian ketat seperti di sesetengah taman tema air.

“Bukan itu sahaja, pengunjung juga bebas memetik dan menikmati buah seperti rambutan, manggis dan duku selagi dimakan dalam kawasan ini.

“Untuk durian, bayaran dikenakan berdasarkan berat. Kami menawarkan pelbagai jenis durian termasuk D24, IOI, ochee, udang merah dan durian kampung,” katanya kepada CitaRasa.

Terdapat dua jenis penginapan utama yang ditawarkan iaitu cabin dan dome (igloo).

 

TAMAN tema air mini terbuka kepada orang awam.

Cabin dilengkapi katil bersaiz queen, tandas peribadi, penghawa dingin dan kipas bagi memastikan keselesaan pengunjung.

Pilihan dome pula menyediakan kemudahan serupa tetapi dengan reka bentuk yang lebih unik dan menarik.

Bagi mereka yang lebih menggemari suasana berkhemah sebenar, kawasan tapak khemah seluas lebih 1.2 hektar  turut disediakan.

Tapak tersebut sesuai untuk keluarga besar, namun para tetamu perlu membawa kelengkapan asas sendiri termasuk kipas dan peralatan tidur.

Di samping itu, D Bayan Hill Glamping turut menyediakan pelbagai kemudahan asas yang lengkap dan mesra keluarga bagi memastikan keselesaan semua pengunjung.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk gazebo dan tempat duduk untuk bersantai, surau, tandas dan bilik persalinan yang bersih serta mudah diakses.

Terdapat juga sebuah kafe dikenali sebagai Dusun Kopi yang menjual makanan ringan, minuman dan aiskrim.

Lebih menarik, antara tarikan utama glamping ialah taman tema air mini yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa.

Menurut Shafie, taman air ini terbuka kepada orang awam, bukan hanya kepada penginap, dengan yuran masuk hanya RM10 seorang, dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

“Taman tema air kami percuma untuk kanak-kanak bawah dua tahun, warga emas dan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU).

“Kami memiliki kolam kanak-kanak berukuran 1.5 hingga 2 kaki, dilengkapi gelongsor, timba air dan cendawan air.

TERDAPAT juga arnab yang dilepas bebas.

“Kolam dewasa pula berkedalaman 4 kaki, sesuai untuk berendam atau berenang santai di bawah redup pohon dusun,” jelasnya.

Terdapat juga kolam ikan di mana pengunjung boleh memancing tilapia merah dan ikan puyu.

Setiap orang dibenarkan membawa pulang hingga empat ekor ikan dan selebihnya perlu dilepaskan semula.

Menambah daya tarikan, kawasan glamping tersebut turut menempatkan arnab yang dilepas bebas, mewujudkan suasana santai seakan petting zoo terbuka. Kanak-kanak khususnya pasti teruja dapat bermain dengan arnab selepas sesi mandi atau memancing.

Shafie menyarankan masa terbaik untuk bercuti di dusun ini adalah ketika musim durian dan rambutan, khususnya sekitar bulan Julai.

“Sekitar Julai merupakan waktu terbaik untuk merasai suasana sebenar dusun buah, sebab waktu inilah buah-buahan semua ranum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN